JOHOR BAHRU: Polis menahan 21 individu termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian, nombor ekor haram dan pertaruhan haram lumba kuda di sekitar bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek ditahan dalam sembilan serbuan bermula pukul 1.35 petang hingga 5.14 petang.
Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun dan hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya 25 telefon bimbit, dua mesin pencetak, satu tablet, satu modem serta wang tunai berjumlah RM7,590.
“Kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya, di sini hari ini. – UTUSAN