SUNGAI PETANI: Seramai 16 warga Indonesia yang leka berjudi ditahan dalam serbuan Op Dadu di sebuah ladang kelapa sawit Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 4.45 petang itu, polis turut menahan empat lelaki tempatan dipercayai penganjur membabitkan judi teka buah dadu, bola golek dan sabung ayam.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dan Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Muda serta penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. S. Suresh Kumar berkata, bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan di lokasi berkenaan dan mendapati kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan bersama 15 lelaki dan seorang wanita Indonesia sedang asyik bermain judi.
“Kesemua mereka kemudian ditahan dan kita merampas wang tunai berjumlah RM9,434,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya turut merampas kain kanvas yang dipercayai digunakan untuk membuat gelanggang pertarungan sabung ayam bersama enam batang besi.
“Barang lain yang dirampas antaranya lima bilah taji ayam sabung yang diubah suai menjadi tajam, 26 ekor ayam sabung, sehelai kain putih yang terdapat lapan petak bercorak buah dadu dan tiga biji buah dadu.
“Selain itu, rampasan juga melibatkan kain putih terdapat 12 petak disyaki permainan judi bola golek, tiga biji bola getah dan kotak kayu,” jelasnya.
Menurutnya, empat warga tempatan berusia antara 28 hingga 59 yang ditahan itu disyaki berperanan sebagai pengelola judi dadu, pembantu judi dadu, pengelola judi bola gelek dan penjaga gelanggang sabung ayam.
“Sarang perjudian ini dipercayai bermula sejak tiga minggu lalu dan hanya melibatkan pemain dalam kalangan warga Indonesia dengan pertaruhan antara RM300 hingga RM5,000,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, Peraturan 11(2) dan Seksyen 31 Akta Pencegahan dan Penyakit Berjangkit 1988 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN