GEORGETOWN: Sebanyak 15 operasi pembenihan awan akan dijalankan bermula bulan ini hingga Ogos untuk meningkatkan simpanan Empangan Air Itam di sini yang rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, operasi pembenihan awan itu mendapat pengesahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan akan dilaksanakan oleh Badan Kawal Selia Air Negeri (BKSA) dengan dibantu PBAPP.
“Tumpuan adalah untuk mencetus hujan secara khusus di KTA Empangan Air Itam. KTA ini merangkumi 5.75 kilometer persegi kawasan hutan dilindungi di sekeliling empangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, baru-baru ini terdapat sedikit hujan di Air Itam namun Empangan Air Itam masih berada di bawah status amaran kerana kapasiti efektif yang rendah iaitu 39 peratus.
”Punca utama ialah taburan hujan yang rendah di KTA sejak Januari dan punca kedua yang menyebabkan paras efektif empangan Air Itam menurun ialah permintaan air harian yang tinggi di perbandaran Air Itam dan kawasan sekitarnya sejak awal tahun ini,” katanya.
Tambah beliau, objektif utama cadangan operasi pembenihan awan KTA Empangan Air Itam 2022 adalah untuk mencegah krisis bekalan air di Air Itam dan kawasan sekitarnya dalam tempoh April hingga Ogos 2022, jika hujan tidak mencukupi di empangan dan permintaan air tinggi yang berterusan.
“Selain itu, ia dilakukan untuk mengisi semula empangan dengan air mentah sebanyak mungkin sebelum musim hujan September depan kerana empangan Air Itam hanya boleh diisi semula oleh hujan di kawasan tadahan airnya.
“Kita juga mahu mencapai kapasiti efektif 90 peratus (atau lebih tinggi) untuk empangan Air Itam menjelang Disember 2022, sebagai persediaan musim kemarau seterusnya yang sepatutnya bermula dari Januari 2023,” katanya. – UTUSAN