130,177 murid empat negeri bersekolah seperti biasa 

130,177 murid empat negeri bersekolah seperti biasa 

RADZI Jidin (kanan) beramah mesra dengan murid semasa meninjau pengoperasian sekolah tanpa sistem penggiliran di SK Seri Ketereh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persekolahan secara bersemuka tanpa penggiliran bagi kumpulan A melibatkan 130,177 murid sekolah rendah dan menengah di Kelantan, Terengganu, Kedah serta Johor berjalan lancar hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, semua pihak sama ada guru, ibu bapa dan murid dilihat patuh pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.

Katanya, Kementerian Pendidikan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan SOP dan amalan norma baharu dititikberatkan di semua sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Untuk makluman, hari ini menjadi tarikh cukup bersejarah buat Kementerian Pendidikan apabila pengoperasian sekolah secara bersemuka kembali seperti biasa tanpa sistem penggiliran.

“Alhamdulillah pengoperasian sekolah kumpulan A membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah hari ini, berjalan lancar dan teratur apabila semua pihak sama ada guru, ibu bapa  serta pelajar memberi kerjasama,” katanya.

Terdahulu beliau meluangkan masa untuk turun padang meninjau sendiri pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, di sini.

Mengulas lanjut, Radzi berharap sesi persekolahan bagi Kumpulan B membabitkan 416,000 pelajar dari negeri-negeri lain yang dijadual bermula esok turut lancar dan teratur sepertimana hari ini.

Kata beliau, secara keseluruhannya, kira-kira lima juta pelajar dan murid di seluruh negara kembali bersekolah seperti biasa tanpa sistem penggiliran sebagaimana sebelum Covid-19 melanda negara.

Ia membabitkan kira-kira 2.9 juta murid sekolah rendah dan 2.1 juta sekolah menengah di seluruh negara. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN