GEORGETOWN: Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan 13 notis atas kesalahan perbuatan tidak menghormati Ramadan (Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996) bermula awal Ramadan hingga minggu lalu.
JHEAIPP dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu kempen hormati Ramadan 2022/1443H giat dilaksanakan dengan penglibatan bersama Bahagian Pengurusan Halal (JHEAIPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kesihatan negeri (JKNPP).
“Memasuki minggu kedua Kempen Hormati Ramadan, pemeriksaan ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan sedia ada dikesan di beberapa premis makanan dan lokasi ‘panas’ golongan tidak berpuasa.
“Antara ketidakpatuhan yang direkodkan adalah kesalahan perbuatan tidak menghormati Ramadan (Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996) yang mana 13 notis dikeluarkan.
“Selain itu, satu tangkapan membabitkan kesalahan berkhalwat (Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996) turut dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN