JOHOR BAHRU: Sebanyak 120,000 rumah mampu milik berharga bawah RM200,000 tidak dapat dibina di Johor dalam tempoh 25 tahun ini ekoran kegagalan sistem digunakan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pihaknya sedang meneliti isu itu yang akan diselesaikan satu persatu dalam usaha membina lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.
“Saya sudah berjumpa dengan 12 pemaju dan pemain industri yang membangunkan rumah mampu milik ini. Antara isu yang dibangkitkan mereka adalah sudah tidak relevan lagi rumah berharga RM40,000 untuk dibangunkan.
“Kos untuk bina rumah mampu milik kini sudah cecah RM100,000. Jadi, kita sudah berbincang dan pemaju bersedia bina rumah yang berharga antara RM100,000 hingga RM200,000,” katanya kepada pemberita pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Jafni berkata, tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan rakyat yang dilihat cabaran yang perlu dihadapi setelah ramai rakyat mengeluh mengenai isu itu dan menyifatkan rumah yang dibangunkan hanya ‘mampu tengok’ sahaja.
“Kita kena terima hakikat ini kerana hasil kajian responden daripada 49,000 penduduk di negeri ini, hampir 50 peratus masih menyewa dan tidak memiliki rumah. Walaupun kerajaan negeri mempunyai tanah dan ada agensi kerajaan seperti Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), tapi kita juga perlukan pemaju bersama kerajaan untuk bina rumah mampu milik,” ujarnya. – UTUSAN