BUTTERWORTH: Satu cubaan untuk membawa masuk sebuah kontena yang memuatkan sebanyak 1,125 kotak produk babi di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) berjaya digagalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang kelmarin.
Pengarah Maqis negeri, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, siasatan mendapati produk babi seberat 9,180 kilogram (kg) yang telah ditinkan dan dianggarkan bernilai RM453,600 itu dibawa masuk dari China tanpa menggunakan permit import dari Maqis.
Katanya, perbuatan mengimport produk tersebut tanpa permit import yang sah dari Maqis dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), akta yang sama.
“Sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhammad Ikram, tindakan penguatkuasaan perlu diambil bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini kerana ia mampu menjejaskan industri penternakan babi Malaysia.
Katanya, antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi salai, sosej babi, produk babi yang ditinkan dan produk lain yang seumpama dengannya.
“Maqis mengambil langkah lebih serius mengenai pengimportan melalui sempadan negara terutamanya isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.
“Tindakan penguatkuasaan undang-undang juga akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan biosekuriti serta tahap jaminan keselamatan makanan negara terpelihara,” katanya. – UTUSAN