ARAU: Seramai 11 orang maut dalam nahas jalan raya bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding tiga kes direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu di Perlis.
Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Perlis, Hamizan Hassan berkata, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 13 orang mengalami kecederaan parah sejak Januari hingga Mac tahun ini berbanding tiada mangsa parah pada tahun lalu.
Beliau berkata, selebihnya pula membabitkan 22 individu mengalami kecederaan ringan, manakala 351 kemalangan yang direkodkan dari Januari hingga Mac tahun ini pula tidak melibatkan kecederaan.
“Penurunan kadar kematian dan kemalangan pada tahun 2021 adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan yang pada dasarnya menurunkan bilangan kenderaan di atas jalan raya.
“Kita menjangkakan akan berlaku pertambahan mendadak bilangan kenderaan masuk ke Perlis dalam tempoh satu hingga dua minggu ini. Saya berharap pengguna jalan raya terutama anak-anak perantau dapat mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat negeri ini di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah.
Sementara itu, Hamizan memberitahu, terdapat tiga hingga empat kawasan kerap berlaku kemalangan dengan salah satunya ialah di jalan persekutuan dari Alor Setar, Kedah ke Padang Besar.
Kata beliau, beberapa langkah keselamatan telah diambil bagi menangani masalah tersebut.
“Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah meningkatkan pencahayaan di kawasan tersebut selain pemasangan papan tanda keselamatan di lokasi itu.
“Selain itu, JPJ akan menempatkan pegawai penguatkuasa dan kamera-kamera keselamatan di lokasi tertentu terutama di persimpangan lampu isyarat untuk memastikan pematuhan di kawasan tersebut,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak penguatkuasa akan memfokuskan kepada lima kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya iaitu memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, gagal mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan. – UTUSAN