JASIN: Seramai 75 asnaf termasuk individu yang hidup sebatang kara dan ibu tunggal di Kampung Kelubi di sini, diraikan dalam Program Bakul Syawal yang disampaikan sepanjang 10 Ramadan terakhir.
Bantuan tersebut iaitu makanan keperluan adalah hasil sumbangan orang ramai dan masjid kampung berkenaan yang sentiasa mengambil berat tentang kemaslahatan jiran tetangga.
Seorang warga emas, Halimah Bedul, 81, berkata, meskipun hidup sebatang kara, dia tidak pernah dilupakan penduduk kampung apabila ramai yang datang menziarahi dan bertanya khabar.
“Alhamdulillah, hari ini saya diberi pula Bakul Syawal, memang orang kampung tidak pernah melupakan walaupun hidup seorang diri.
“Macam-macam bekalan makanan ada termasuklah beras, biskut, gula, tepung dan kopi yang lebih dari cukup untuk diri saya seorang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kelubi di sini.
Ujarnya, dia tidak pernah berkahwin dan menetap di situ sejak kecil.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Jamilah Abdul, 78, yang merupakan ibu tunggal memberitahu, dia amat bersyukur kerana dikurniakan rezeki berbentuk jiran tetangga yang amat prihatin dan bertanggungjawab.
“Saya duduk seorang diri di rumah ini, sembilan anak yang lain masing-masing telah mempunyai kehidupan sendiri.
“Kadang-kala, anak bongsu saya yang tinggal di taman berdekatan akan pulang menjenguk, ada masanya penduduk kampung terutama kariah masjid pula datang menziarahi bertanya keadaan dan keperluan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Masjid Al Mubarak Kampung Kelubi, Ibrahim Adan berkata, Bakul Syawal diberikan bagi mengimarahkan lagi penghayatan pada 10 Ramadan terakhir.
“Hasil sumbangan orang ramai, kita telah menyediakan 75 Bakul Syawal untuk meraikan golongan asnaf di kampung ini untuk memastikan mereka tidak ketinggalan melakukan persiapan bagi menyambut Syawal nanti.
“Kita tidak mahu mereka berasa terpinggir dan pemberian ini juga merupakan sumbangan ikhlas daripada penduduk untuk memeriahkan lagi penghayatan 10 Ramadan terakhir,” katanya. – UTUSAN