10 peratus penagih dadah punya masalah kesihatan mental

10 peratus penagih dadah punya masalah kesihatan mental

Klien Puspen menunaikan solat Zohor secara berjemaah di Puspen Kimanis, Papar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seramai 30 daripada 326 orang klien yang dimasukkan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) mempunyai masalah kesihatan mental berpunca daripada penagihan dadah.

Pengarah Puspen Papar, Roswati Apin berkata, walaupun jumlah itu tidak ramai namun, kemasukan mereka yang berhadapan masalah kesihatan mental memberi cabaran kepada pegawai Puspen.

ROSWATI APIN

“Dalam berhadapan kes sebegini, pihak kami akan merujuk klien kepada pakar psikiatri terlebih dahulu bagi memastikan mereka stabil untuk mengikuti program psikososial selanjutnya yang dilaksanakan di sini.

“Ketagihan disebabkan pelbagai faktor namun, ia boleh ditangani melalui kaedah perubatan seperti rawatan psikiatri,” katanya ketika ditemui di Puspen, Papar semalam.

Menurutnya, pusat pemulihan itu turut menerima kes penagih berulang iaitu klien yang dimasukkan buat kali kedua. Sehingga kini, dua peratus kes penagih berulang direkodkan.

Kebanyakan penghuni atau dikenali sebagai klien di Puspen ini terdiri adalah yang baharu. Rata-rata klien di masukkan ke sini kerana menggunakan dadah jenis syabu.

Kemasukan klien ke Puspen membabitkan dua kategori iaitu secara sukarela dan mandatori atau atas arahan mahkamah selepas disabitkan hukuman di mahkamah kerana mengambil dadah.

Mengulas lanjut katanya, sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam membantu pemulihan klien kerana cabaran sebenar adalah semasa mereka keluar daripada Puspen.

“Tanggungjawab membantu mengekalkan kepulihan memerlukan sokongan keluarga.

“Bagi pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), kami akan membantu keluarga klien untuk mengekalkan kepulihan melalui bimbingan pegawai dalam komuniti sepanjang tempoh pegawasan antara dua hingga tiga tahun,” katanya.

Tambah beliau, semua klien yang masuk ke pusat pemulihan itu akan mengikuti Program i-Pulih yang merangkumi program keagamaan, program pendidikan, program integrasi masyarakat, latihan vokasional dan program psikososial atau kaunseling.

Sepanjang Ramadan pula, program keagamaan diberi penekanan yang lebih ia termasuk Tadarus al-Quran dan solat sunat tarawih.

Roswati berkata, klien akan dimasukkan ke Puspen selama tempoh 24 bulan atau dua tahun berdasarkan undang-undang rawatan namun, sekiranya mereka berkelakuan baik dan mencapai standard piawaian pelepasan awal, klien boleh disyorkan untuk dilepaskan lebih awal selepas tempoh 12 bulan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN