1 April detik bersejarah rakyat Malaysia di Singapura

1 April detik bersejarah rakyat Malaysia di Singapura

RIBUAN pengembara terutama pekerja Malaysia di Singapura yang menunggang motosikal melintasi Tambak Johor untuk memasuki Malaysia di Kompleks CIQ, Johor Bahru selepas tengah malam tadi. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Detik 12 tengah malam tadi menjadi momen yang bersejarah buat ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang menyeberangi Tambak Johor buat pertama kali sejak pandemik Covid-19 melanda pada Mac 2020.

Tambak Johor yang sunyi sepi sejak dua tahun yang lalu kembali meriah dan sesak seperti sebelum era pra Covid-19 dengan kehadiran ribuan kenderaan yang menunggu giliran untuk memasuki sempadan Johor-Singapura.

Tinjauan di beberapa lokasi tumpuan berhampiran laluan keluar pintu sempadan seperti di Tanjung Puteri dan Jalan Lingkaran Dalam Bukit Senyum mendapati kawasan itu mula dipenuhi keluarga yang menunggu kepulangan ahli keluarga mereka daripada negara tepublik itu.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka yang menyambut kepulangan insan tersayang ke pangkuan keluarga buat pertama kali sepanjang tempoh pandemik itu.

Suasana di Tanjung Puteri itu menjadi meriah dengan sorakan ahli keluarga yang menunggu sejak pukul 10.30 malam setelah melihat kelibat pejalan kaki yang menggendong beg pakaian berjalan menyeberangi Tambak Johor itu mula bergerak.

Tinjauan juga mendapati beberapa jalan keluar berhampiran Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini seperti di Jalan Jim Quee dan Jalan Tun Abdul Razak dikawal oleh anggota penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan kelancaran lalu lintas.

Menurut perkongsian seorang pekerja Malaysia di Facebook, Fajrul Rizal Abu Bakar, 28, menyatakan mereka yang berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor itu dilepaskan mengikut kumpulan bagi mengatasi kesesakan.

Jelasnya, proses kemasukan mereka melalui dua ‘checkpoint’ di pintu sempadan Johor-Singapura berjalan lancar tanpa perlu menunggu lama dan hanya dibenarkan memasuki sempadan negeri ini pada pukul 12.01 tengah malam.

Suasana di stesen minyak berhampiran di Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum juga tak kurang meriah apabila ahli keluarga mula berkumpul menunggu sejak pukul 11.20 malam untuk menyambut kepulangan ahli keluarga mereka.

Kumpulan pertama yang menyeberangi Tambak Johor itu merupakan kelompok pejalan kaki yang tiba melalui kawasan itu sekitar pukul 12.10 tengah malam.

Ketibaan, R Suresh, 49, pekerja Malaysia pertama yang melangkah keluar itu seperti baru sahaja menamatkan larian marathon apabila disambut dengan sorakan ahli keluarga yang menunggu di kawasan tersebut.

“Saya Berasa sangat gembira apabila dapat pulang ke tanah air untuk bertemu semula keluarga tercinta. Terima kasih diucapkan kepada kerajaan di atas pembukaan sempadan ini.

“Walaupun penat tapi saya puas apabila dapat menjejakkan kaki ke Malaysia. Segala proses berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya