Zakat Fitrah di Selangor tahun ini kekal RM7

Zakat Fitrah di Selangor tahun ini kekal RM7

MUHD. Fikri Naim (kiri) menyaksikan program sumbangan kepada asnaf mangsa banjir oleh McDonald’s Malaysia di Banting, Kuala Langat, Selangor, hari ini. - FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kadar Zakat Fitrah di negeri Selangor tahun ini kekal ditetapkan sebanyak RM7 seorang bagi setiap orang yang menyamai harga 2.6 kilogram beras super tempatan gred A.

Menurut Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhd.Fikri Naim Harun,  penetapan kadar Zakat Fitrah RM7 adalah kekal tidak berubah sejak 2007.

Katanya, walau bagaimanapun, mereka yang menggunakan beras putih import, beras perang, pulut, herba ponni dan beras wangi ditetapkan sebanyak RM14, sementara pengguna beras basmathi pula kadar Zakat Fitrahnya pada RM21 bagi setiap individu.

“Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi, walau bagaimanapun, LZS amat menggalakkan golongan berkemampuan untuk menunaikannya mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

“Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan,” katanya selepas menghadiri program sumbangan zakat McDonald’s Malaysia kepada golongan asnaf mangsa banjir di Banting, hari ini.

Muhd. Fikri menambah, LZS turut melantik seramai 2,754 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor untuk mengutip zakat itu sepanjang Ramadan tahun ini.

Jelasnya, pembayar zakat juga boleh menggunakan platform dalam talian untuk membayar zakat fitrah dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my aplikasi Zakat Selangor, perbankan internet, Portal MyEg dan Pos Online.

Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost juga boleh digunakan untuk membayar zakat.

“Bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan, LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat, katanya.

Katanya lagi, masyarakat Islam dinasihatkan agar membayarnya hanya kepada amil dilantik oleh LZS yang dibekalkan kad tauliah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berurusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya