Zakat fitrah di Kedah ditetapkan tiga kadar - Utusan Malaysia

Zakat fitrah di Kedah ditetapkan tiga kadar

SYEIKH Fadzil Awang (kiri) menunjuk tiga kadar zakat fitrah Kedah pada 2022 di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan zakat fitrah tahun ini pada tiga kadar iaitu RM7, RM14 dan RM21 berdasarkan harga beras gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk negeri ini.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, penetapan harga zakat itu adalah kekal seperti tahun lalu berdasarkan kadar timbangan satu gantang Baghdad atau 2.6 kilogram beras.

“Kadar RM7 adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super special tempatan dan setaraf dengannya, sementara RM14 adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.

“Kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” katanya pada sidang akhbar ketetapan kadar zakat fitrah Kedah 2022 di Menara Zakat di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Sheikh Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agihan Zakat dan Ahli Lembaga Zakat Kedah berkata, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM11.7 juta dengan anggaran peningkatan sebanyak lima peratus berbanding kutipan tahun lalu sebanyak RM11.14 juta.

Katanya, kutipan zakat fitrah itu akan diagihkan sepenuhnya pada bulan Ramadan iaitu sebanyak RM6.04 juta kepada 18,800 orang penerima bantuan bulanan yang dikategorikan fakir sebanyak RM400 dan miskin RM300.

“Sebanyak RM3.6 juta pula akan diagihkan kepada 9,000 guru agama seluruh Kedah iaitu sebanyak RM400 orang manakala RM300,000 akan diberikan kepada 300 mualaf di negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, Zakaria berkata, pihaknya mengalu-alukan pembayaran zakat secara dalam talian, selain melakukan bayaran menerusi 3,100 amil yang dilantik seluruh negeri.

Katanya, pada tahun ini juga amil yang dilantik akan menggunakan kaedah digital sepenuhnya samada boleh menggunakan Sistem MyAmil yang memaparkan QR Kod untuk diimbas oleh pembayar atau berkongsi pautan pembayaran yang disediakan.

“Pembayar pula akan menerima resit pembayaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mail. Bagi pembayar yang menghadapi masalah untuk menggunakan kaedah digital, amil yang dilantik akan dibekalkan dengan buku resit fitrah tetapi dalam kuantiti terhad.

“Tujuan kita menggunakan kaedah digital ini adalah untuk mengenal pasti sasaran zakat pada tahun depan kerana kita mempunyai data mengenai mereka (asnaf), dalam masa yang sama dalam tempoh tiga tahun kita akan peroleh data jumlah penduduk muslim yang tepat di Kedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya