KUALA LUMPUR: Wisma Putra akan mula menghantar surat rasmi ke negara-negara lain menggunakan bahasa Melayu.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keputusan itu selaras dengan kerangka dasar luar Malaysia.
Ia juga menyokong hasrat serta cita-cita Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bercadang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.
Justeru, Saifuddin berkata, penggunaan bahasa Melayu itu akan terus digunakan dalam mesyuarat dan pertemuan antarabangsa, termasuk sidang kemuncak ASEAN dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Penghantaran surat ke negara lain menggunakan bahasa kebangsaan adalah amalan biasa bagi kebanyakan negara. Contohnya, negara Arab menghantar surat ke Wisma Putra menggunakan bahasa Arab dan disertakan dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris.
“Kerajaan akan memulakan, misalnya menghantar surat atau perutusan ke negara Arab menggunakan bahasa Melayu dan ia akan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab,” katanya semasa sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata Saifuddin, pihaknya sudah memulakan usaha meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan selaras bidang perhubungan antarabangsa dalam kalangan diplomat negara.
Malah, katanya, selain bahasa Inggeris, Kementerian Luar juga memberi fokus meningkatkan penguasaan diplomat negara bagi lima bahasa yang digunakan di PBB iaitu bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Rusia dan Sepanyol.
“Antara langkahnya ialah sebelum diploma itu dihantar ke negara tertentu, misalnya negara Arab, kita pastikan mereka mengikuti kursus dan menguasai tahap minimum bahasa Arab atau mengutamakan pegawai yang menguasai bahasa itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Luar juga akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kembali mewujudkan elaun bahasa ketiga yang turut boleh diberikan kepada pegawai kementerian lain bertugas di luar negara.
Katanya, kerajaan sedang meningkatkan jumlah penterjemah bagi pelbagai bahasa khususnya bagi menghadiri mesyuarat dan pertemuan antarabangsa dihadiri Perdana Menteri.
“Walaupun ada penterjemah profesional di luar, tapi oleh kerana ini membabitkan hubungan bilateral dan mesyuarat tertutup yang ada kalanya membabitkan kerahsian kerajaan, kami tidak boleh menggunakan khidmat penterjemah profesional dengan serta-merta,” katanya. – UTUSAN