‘Wira bomba’ redah api selamatkan warga emas OKU

‘Wira bomba’ redah api selamatkan warga emas OKU

SUHAIMI Harun beramah mesra dengan Mustapa Mohamed (tengah) dan Zainal Madasin dalam Majlis Apresiasi JBPM Kelantan di Tunjong, Kota Bharu, hari ini. - FOTO/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Keberanian pemandu lori meredah api demi menyelamatkan jirannya, seorang warga emas kurang upaya dalam kebakaran Februari tahun lalu, mendapat penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM) Kelantan hari ini. 

‘Wira bomba’ tersebut, Suhaimi Harun, 58, menerima sijil penghargaan disampaikan Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin dalam majlis Apresiasi JBPM Kelantan di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, di sini.

Menceritakan pengalamannya itu, Suhaimi berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang, dia sedang membaiki lori di depan rumah sebelum terdengar bunyi letupan dan melihat rumah warga emas itu terbakar.

“Keadaan api semakin merebak dan menjulang tinggi, namun saya nekad meredah juga api kerana mahu menyelamatkan jiran saya yang tidak berdaya dan tinggal seorang diri ketika itu. 

“Saya sudah tidak fikirkan apa-apa termasuk keselamatan diri dan syukur Alhamdulillah saya berjaya membawanya keluar dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu hari ini.

Turut diraikan dalam majlis tersebut, wakil pengamal media dari Media Mulia (Utusan Malaysia dan Kosmo!), Sinar Harian, Astro Awani, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Media Prima (TV3, Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times). 

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

Terdahulu Zainal memberitahu, sepanjang Januari sehingga semalam, JBPM Kelantan menerima 1,529 panggilan kecemasan melibatkan 275 panggilan kebakaran, 406 panggilan penyelamatan dan 847 panggilan tugas-tugas khas dengan kerugian berjumlah RM76 juta. 

Kata beliau, memandangkan musim kemarau sudah tiba, pihaknya sudah membuat persiapan untuk berdepan kemungkinan kejadian kebakaran hutan di kawasan tanah gambut dan lalang yang kerap berlaku di Bachok dan Tok Bali, Pasir Puteh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya