KUALA TERENGGANU: Tradisi bermain wau cukup sinonim dalam kalangan penduduk di Kampung Raja, Chendering di sini dan antara yang menjadi tarikan ramai ialah ‘wau patak belah laga’.
Seorang penduduk, Tuan Abu Bakar Tuan Abdullah, 64, berkata, permainan wau patak belah laga hanya wujud di kampung itu, malah sudah dimainkan golongan nelayan dan petani sejak lebih lima dekad lalu.
Katanya, cara permainan adalah berbeza berbanding kebanyakan wau lain kerana pemain perlu melagakan dan menjatuhkan wau lawan ketika di udara untuk muncul sebagai pemenang.
“Pemain diberi tempoh dua minit untuk menyingkirkan lawan bagi layak ke peringkat seterusnya dan jika kedua-dua wau masih berlaga di udara, tempurung kelapa akan digunakan bagi mengira masa.
“Pengadil akan meletakkan tempurung kelapa di dalam bekas berisi air dan masa dikira tamat apabila tempurung itu jatuh ke permukaan bekas,” katanya ketika ditemui dalam Pertandingan Wau Patak Belah Laga di sini, baru-baru ini.
Tuan Abu Bakar berkata, pemain yang berjaya menjatuhkan wau lawan termasuk memutuskan tali dianggap sebagai pemenang.
Katanya, kos menghasilkan wau patah belah laga boleh mencecah antara RM120 hingga RM300 mengikut saiz walaupun hanya menggunakan bahan seperti buluh, benang dan kertas.
Sementara itu, Pengerusi pertandingan, Syed Mohd. Hamidi Syed Draman, 35, berkata, penganjuran aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memperkenalkan permainan wau tradisional kepada generasi muda, malah mengeratkan hubungan sesama penduduk sejak Covid-19 melanda.
“Sejak awal 1970-an lagi pesta wau Chendering sudah diadakan dan kami sebagai golongan belia hanya menyuburkan tradisi ini untuk tatapan ramai,” katanya.- UTUSAN