KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mengulangi pendirian untuk tidak bertanding di semua kawasan dan negeri di Semenanjung Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ketika ini, kepemimpinan parti sedang meneliti secara mendalam kawasan dan negeri mana yang berpotensi untuk Warisan meletakkan calon.
“Kita tidak mahu kekuatan menjadi renggang kerana kita tahu kekuatan kita agak terbatas. Ini bukan perjuangan yang mudah namun kita kena berusaha mencapai sesuatu yang berada di luar jangkauan.
“Kehadiran kita adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat pada PRU-15,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan di sini hari ini.
Beliau yakin ada beberapa negeri tidak perlu untuk Warisan bertanding kerana mengambil kira demografik pengundi-pengundi di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, selepas melakukan percubaan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi meneliti keadaan di sana, Warisan mendapati parti ini memerlukan sedikit masa untuk dikenali di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, jika parti Semenanjung yang masuk ke Sabah juga memerlukan tempoh yang lama untuk memenangi kerusi maka, begitu juga dengan Warisan.
“Itu sebabnya kita sedang meneliti calon-calon yang berpotensi dan kerusi mana yang kita nak tandingi. Saya tidak boleh putuskan di sini kerana saya akan bawa perkara ini untuk perbincangan dalam Majlis Tertinggi dan biro politik yang ada.
“PRU akan diadakan pada bila-bila masa sama ada tahun ini mahupun tahun depan. Jadi kita perlu persediaan dan mengenali calon-calon kita. Untuk itu, semasa berada di Johor saya tengok apa suara-suara rakyat di sana jadi saya akan menjadikan pandangan ini untuk berhadapan PRU-15,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan parti lain, Mohd. Shafie berkata, keterbukaan bekerjasama dengan parti tempatan itu sudah dinyatakan sejak selepas PRU-14.
Maka, menjelang PRU kali ini, beliau menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memutuskan parti yang akan memerintah kerana beliau tidak mahu Langkah Sheraton berulang.
“Kita tahu tiada parti yang boleh memerintah secara mutlak berdasarkan trend yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor,” katanya. – UTUSAN