KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) masih perlu belajar memahami permainan di gelanggang politik Semenanjung Malaysia yang cukup berbeza dengan model politik Sabah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, memandangkan Warisan baharu bertapak di Semenanjung maka, tidak mudah bagi parti itu untuk bersaing dengan parti-parti yang sudah lama bertapak di Semenanjung Malaysia.
Dalam konteks Johor, biarpun terdapat sejumlah pengundi Sabah yang berada di sana namun, perlu diselidik terlebih dahulu adakah mereka sudah menukar pusat mengundi di Johor atau masih lagi pengundi berdaftar bagi Sabah.
Beliau berkata, kejayaan Barisan Nasional (BN) di Johor akan memberi motivasi untuk BN muncul semula sebagai parti yang kuat selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Berdasarkan situasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, peratusan keluar mengundi yang rendah memberi kelebihan kepada BN kerana pengundi atas pagar yang selalu memihak kepada Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak keluar mengundi.
Di samping itu katanya, perpecahan dalam PH menyebabkan kelebihan diperoleh oleh BN kerana pada dasarnya BN hanya mengekalkan peratusan undi mereka sahaja.
Namun, perpecahan undi pihak lawan semasa PRN Melaka dan Johor antara Perikatan Nasional (PN), PH, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Perjuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan).
“Keputusan PRN Johor merupakan petanda jelas kepada BN untuk menjauhkan diri daripada Pas. Undi kaum Cina dan India ternyata amat signifikan dalam menyumbang kepada kemenangan BN menerusi MCA dan MIC.
“BN merupakan model politik yang cuba ditiru oleh PH dan PN dan macam-macam lagi perikatan kerana politik berasaskan etnik tidak akan berjaya di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pluralistik.
“Pendek kata, BN telah menemui semula kekuatan mereka iaitu muafakat dan kerjasama dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia,” katanya.
Mengenai gesaan segerakan PRU15, Kuok Tiung berkata, BN sendiri belum bersedia menghadapi PRU15 kerana beberapa isu mendesak yang perlu diselesaikan dalam UMNO terlebih dahulu.
Kejayaan BN pada PRN Melaka dan Johor disebabkan undi pihak lawan berpecah dan bukannya pengundi yang dahulunya lari daripada UMNO telah kembali kepada UMNO. –UTUSAN