TAIPING: Tanggungjawab memulihara warisan sejarah bukan hanya terletak kepada kerajaan tetapi juga kepada waris atau pemilik asal sesuatu monumen bersejarah.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin À. Kassim berkata, mentaliti waris atau pemilik dilihat terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan dalam usaha pemuliharaan sesuatu warisan.
Menurutnya, ini meletakkan bebanan besar untuk ditanggung oleh kerajaan dan kerajaan sememangnya mempunyai peruntukan untuk memulihara bangunan-bangunan lama namun dalam keadaan terhad dan pengelolaannya memakan kos yang sangat besar.
“Sebab itu perkara ini perlu ada kerjasama dengan semua pihak antaranya kerajaan Persekutuan dan negeri, swasta dan pemilik atau waris kepada monumen bangunan bersejarah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Bicara@Muzium sempena perhimpunan seramai 70 Waris Ngah Ibrahim 2022 di Muzium Matang di sini dan pra pelancaran pembukaan Rumah Kapten Speedy kepada umum yang dijadikan galeri pameran sejarah Ngah Ibrahim.
Turut hadir, Orang Besar Jajahan (OBJ) Larut Matang Selama, Datuk Wan Mohd. Isa Wan Mohd. Razali; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Abdul Mutalib Abdul Rahman dan Pengarah Muzium Perak, Zarinah Sarifan.
Menurut Kamarul Baharin, sebelum ini monumen tapak sejarah adalah di bawah Jabatan Muzium mengikut Akta Muzium 168 tahun 1976, kemudian dipinda dan diperkenalkan Akta Warisan 665 tahun 2005.
Menurutnya, bagi tapak bersejarah, pewartaannya di bawah kuasa Jabatan Warisan Negara namun menjadi tanggungjawab pemilik monumen sendiri dalam memelihara atau memulihara.
“Terdapat waris yang mahu kerajaan menanggung kesemuanya selain tidak mahu menjaga tinggalan bersejarah itu. Apabila berlaku begitu, sudut pandang orang ramai yang tidak tahu perkara sebenar akan melihat seolah-olah kerajaan sengaja menjadikan bangunan itu terbiar.
“Sedangkan punca sebenar adalah mentaliti yang terlalu bergantung kepada kerajaan,” katanya.
Menurutnya, persatuan, komuniti gabungan, keluarga atau waris juga berperanan menjaga monumen terutama apabila bantuan atau peruntukan sudah disalurkan.
“Ada kelebihan apabila gabungan waris atau pemilik itu sendiri masing-masing memainkan peranan,” katanya.
Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, pihaknya masih dalam proses mendraf akta baharu dikenali Akta Muzium bagi mengawal selia aktiviti berkaitan muzium bagi menangani isu penggunaan terma ‘muzium’ oleh pihak tidak sepatutnya.
Menurutnya, pada masa ini, apabila didirikan sahaja sebuah pameran, terus diletakkan nama ‘muzium’ sedangkan penubuhan muzium mesti ada pegawai yang uruskan, mesti ada aspek kajiannya, aspek penjagaan dan lain-lain.
“Penubuhan muzium perlu lebih jelas melalui Akta ini. Ia untuk mengelak imej institusi muzium tercemar memandangkan banyak pihak sekarang menubuhkan ‘muzium’ secara kecil-kecilan dan apabila tidak mampu mandiri, akhirnya minta duit dari kerajaan.
“Draf Akta itu antara lain turut dicadangkan menyentuh mengenai penubuhan badan dikenali sebagai Majlis Muzium Malaysia bagi melihat hala tuju muzium secara keseluruhan sebagai langkah memperkasakan dunia pemuziuman,” katanya. – UTUSAN