PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan golongan warga emas adalah golongan yang paling terkesan dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 dan komplikasi yang teruk akibat jangkitan tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peratus liputan vaksinasi yang agak tinggi dalam kalangan warga emas sebelum ini telah membantu mengurangkan kes Covid-19 yang serius.
Namun katanya, liputan dos penggalak perlu dan boleh dipertingkatkan lagi daripada 74.2 peratus agar golongan warga emas lebih terlindung daripada bahaya komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19.
“Dari ME 39/2021 (26 September 2021 – 2 Oktober 2022) hingga ME 9/2022 (27 Februari 2022 – 5 Mac 2022), jumlah dan kadar kematian dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan umur yang lebih muda iaitu kumpulan umur kurang daripada 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Noor Hisham, kadar kemasukan kes ke hospital dan kadar kematian dalam kalangan warga emas juga adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan umur yang lain.
“Sejak Minggu Epidemiologi (ME) 3/2022, kadar kemasukan pesakit Covid-19 dalam kalangan warga emas telah meningkat daripada 1.0 per 100,000 populasi kepada 9.0 per 100,000 populasi pada ME 10/2022. Seperti yang diketahui umum, terdapat di kalangan kes COVID-19 yang akan merosot, memasuki Unit Rawatan Rapi (ICU) atau mati.
“Oleh itu, kenaikan kadar kemasukan pesakit Covid-19 dalam kalangan warga emas ke hospital ini amat membimbangkan. Data jelas menunjukkan bahawa warga emas yang tiada vaksinasi atau tiada dos penggalak amat berisiko tinggi meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya.
Justeru, Kementerian Kesihatan menyeru kepada semua warga emas yang berkelayakan, namun belum menerima vaksin sama ada dos primer atau dos penggalak untuk segera mendapatkannya dari pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat secara walk-in.
Katanya, pengambilan vaksin terutama dos penggalak amat penting untuk warga emas bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk Covi-19 yang boleh membawa maut.
Jelasnya, ia juga sebagai persediaan apabila negara memulakan fasa ‘peralihan ke endemik’ pada 1 April depan.
“Mulai 1 April ini, sempadan negara akan dibuka, kedai-kedai makan boleh beroperasi sehingga lewat malam, dan tiada lagi penjarakan fizikal satu meter untuk saf solat jemaah (bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh badan-badan agama di setiap negeri). Aktiviti mengimarahkan bulan Ramadan juga akan dibenarkan dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal yang masih diwajibkan.
“Justeru, bagi memastikan warga emas dapat menyertai dan melakukan aktiviti-aktiviti ini dengan selamat, warga emas perlu lengkap menerima vaksinasi dan juga vaksin dos penggalak.
“Anak-anak dan ahli keluarga memainkan peranan yang penting untuk membawa ibubapa, datuk, dan nenek untuk menerima vaksinasi dos primer dan dos penggalak. Jika didapati terdapat ibu bapa, datuk, nenek yang masih belum bersedia untuk divaksinasi ataupun belum mengambil dos penggalak, anak-anak dan ahli keluarga perlu bertindak proaktif untuk menasihati dan meyakinkan mereka,” katanya. – UTUSAN