SIBU: Seorang wanita warga emas maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama anak dan menantunya hilang kawalan, dan melanggar pokok di Jalan Ding Lik Kwong di sini pada petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat berkata, kejadian berlaku pada jam 1:40 petang, semalam apabila kenderaan jenis Perodua Viva yang dipandu anak menantu mangsa bergerak lurus dari arah Matu, Daro ke bandar Sibu.
“Ketika tiba di Jalan Ding Lik Kwong di sini, berhampiran Jambatan Igan, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pokok di sebelah kiri jalan raya.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang maut merupakan penumpang di bahagian hadapan sebelah pemandu telah mengalami cedera parah di kepala dan dada,” katanya.
Manga kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu, bagaimanapun pihak hospital mengesahkan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2:33 petang pada hari yang sama, tambahnya.
Penumpang lain termasuk isteri pemandu turut dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di kepala dan kini sedang menerima rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. UTUSAN