Wanita Indonesia dipenjara 2 tahun dera bayi - Utusan Malaysia

Wanita Indonesia dipenjara 2 tahun dera bayi

WANITA Indonesia, Ellis Andreyani dipenjara dua tahun selepas mengaku bersalah mendera bayi berusia setahun di Mahkamah Sesyen, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: “Saya minta maaf, saya tidak akan ulangi lagi. Saya mohon dikurangkan hukuman”.

Itu kata-kata yang diucapkan seorang wanita warga Indonesia selepas video perbuatannya mendera seorang bayi dipertontonkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Video berdurasi kira-kira 30 saat itu dipertontonkan semula ketika tertuduh, Ellis Andreyani, 47, yang berasal dari Medan, Sumatera dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki.

Bagaimanapun, Hakim Mazdi Abdul Hamid tetap menjatuhi hukuman penjara dua tahun selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Ellis Andreyani yang sudah tinggal di negara ini selama tujuh tahun didakwa mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Utama Minden Heights, Gelugor, antara jam 10 pagi hingga 3 petang pada November tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Rais Imran memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan iktibar kepada tertuduh dan masyarakat.

“Rakaman video itu jelas menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan mendera. Sebagai seorang penjaga, tertuduh sepatutnya menjaga kanak-kanak itu dengan baik dan penuh kasih sayang, bukannya dipukul,” katanya.

Hakim kemudiannya menetapkan Ellis Andreyani perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 8 Disember 2021.

Sebelum ini, video kejadian dera itu tular di dalam media sosial Twitter yang memperlihatkan seorang wanita menampar pipi seorang kanak-kanak yang hanya memakai lampin dengan kuat termasuk menarik tangan kanak-kanak terbabit.

Malah, pemilik akaun Twitter terbabit turut mendakwa tiada tindakan diambil meskipun laporan dibuat kerana polis mendakwa wanita terbabit mengalami masalah mental.

Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan itu dan memaklumkan sudah menahan suspek untuk siasatan lanjut sehari selepas menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Difahamkan, tertuduh turut menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen di Depoh Tahanan Imigresen di Juru kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya