JOHOR BAHRU: Ratusan rakyat Malaysia yang berada di Singapura dan terdesak untuk pulang ke tanah air melalui inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.
Bukan sahaja terpaksa mendapatkan tiket bas untuk pulang di bawah skim itu pada harga berlipat kali ganda tetapi mereka juga hanya menyedari tiket terbabit palsu ketika hendak pulang pada hari kejadian.
Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor (Pemas), S. Dayalan berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian itu sejak lebih sebulan lalu.
Menurut beliau, harga tiket yang asalnya adalah 15 dolar Singapura (SGD) dijual kepada rakyat Malaysia dengan harga antara 100 hingga 200 SGD sekeping.
“Saya telah terima ratusan aduan daripada rakyat kita di sana, mereka ditipu pihak ketiga yang mendakwa boleh mendapatkan tiket VTL untuk pulang ke Malaysia pada tarikh yang diinginkan.
“Namun, setelah membayar sejumlah wang yang diminta, mereka hanya mengetahui tiket berkenaan adalah palsu apabila pihak berkuasa Singapura memeriksa senarai nama pengembara yang dibenarkan pada hari terbabit.
“Perkara ini bukan isu kecil kerana telah ramai rakyat Malaysia ditipu, lebih-lebih lagi mereka yang berasa terdesak untuk pulang atas pelbagai sebab seperti melawat saudara mara atau ibu bapa yang tidak sihat dan telah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Pemas mempersoalkan mengapa jumlah pengembara yang pulang tidak memenuhi kuota ditetapkan iaitu sekitar 1,000 pengembara sehari sedangkan tiket dikatakan telah habis terjual.
“Difahamkan, dua syarikat bas diberikan kuota 500 tiket sehala setiap hari, ini bermakna sebanyak 1,000 tiket sehari dan kuota berkenaan telah habis dibeli.
“Namun maklumat yang kami terima dianggarkan hanya kira-kira 200 pengembara pulang dari Singapura setiap hari, jadi baki yang lebih itu ke mana perginya, adakah ada pihak berkepentingan di situ,” soalnya.
Sehubungan itu, pihaknya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera dengan meminta bantuan pihak berkuasa negara jiran sekiranya dalang penipuan tiket VTL tersebut turut melibatkan warganegara Singapura sendiri. UTUSAN