[VIDEO] Tawar rasuah: Dua peniaga dipenjara 14 hari, denda RM75,000 - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tawar rasuah: Dua peniaga dipenjara 14 hari, denda RM75,000

GOH How Keong (dua dari kiri) dan Gan Tze Lee (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menawarkan rasuah kepada pegawai TNB bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan, tahun lalu. - UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua peniaga dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM75,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan rasuah RM15,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan, tahun lalu.

Tertuduh, Goh How Keong, 50, dan Gan Tze Lee, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda, bagaimanapun mereka membayar denda tersebut dan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 28 Februari lalu.

Hakim juga mengarahkan wang rampasan aktiviti bitcoin keseluruhan berjumlah RM83,380 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

DUA orang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menawarkan rasuah kepada pegawai TNB bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan, tahun lalu. – UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM15,000 kepada pegawai TNB sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Jalan Kenari, Taman Paroi Jaya di Seremban pada 5 November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, peguam Siew Yen Mee yang mewakili kedua-dua tertuduh dalam rayuannya memohon hukum paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan How Keong menghidap penyakit darah tinggi dan dan perlu menyara isteri yang merupakan suri rumah dan empat orang anak.

“Anak sulung tertuduh kedua Tze Lee pula perlu menjalani pembedahan di kepala selepas terlibat dalam kemalangan tahun lalu, dia juga mempunyai seorang isteri dan dua anak yang masih kecil,” katanya.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh telah menawar dan memberikan wang tunai secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin sejak pertengahan tahun 2021.

Sebelum ini, media melaporkan, kedua-dua tertuduh ditahan reman selepas ditangkap di rumah mereka pada 28 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya