JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memasuki pekarangan Istana Bukit Serene tepat pukul 2.54 petang, sebentar tadi.
Baginda dilihat memasuki istana tersebut dengan menaiki kenderaan jenis Rolls-Royce diiringi kenderaan pengiring.
Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut dilihat memasuki pekarangan istana berkenaan pada pukul 2.40 petang.
Difahamkan, Menteri Besar Johor yang baharu akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar petang ini untuk ditauliahkan secara rasmi.
Sejak semalam, isu pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat dan juga parti politik susulan terdapat tiga nama disebut-sebut bakal memegang jawatan itu.
Ketiga-tiga mereka ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi.
Onn Hafiz, 44, adalah individu paling hampir dengan spekulasi tersebut kerana beliau merupakan pemimpin muda dan berpengalaman sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika pentadbiran Hasni sejak Mac 2020.
Malah, teka-teki itu semakin terjawab apabila Hasni dalam kenyataan lewat petang semalam memaklumkan beliau mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor yang disifatkan mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan itu antara calon muda yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.
Difahamkan, Onn Hafiz telah berada di dalam Istana Bukit Serene dengan memasuki istana itu melalui pintu belakang. – UTUSAN