KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin Abu Bakar tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman terhadapnya berhubung isu vaksin yang disiarkan di laman-laman sosial miliknya.
Ini kerana, isu-isu yang dibangkitkan adalah merujuk kepada ruang lingkup tugas Menteri Kesihatan dan bukannya menyentuh isu peribadi Khairy.
“Isi kandungan kenyataan-kenyataan yang dikatakan memfitnah plaintif (Khairy) dalam tuntutan ini adalah sepenuhnya atau sebahagiannya berkaitan dengan kewajipan plaintif dalam kapasiti sebagai Menteri Kesihatan Malaysia.
“Oleh itu, tindakan ini secara keseluruhan bukanlah tindakan yang boleh dibawa oleh plaintif dalam kapasiti peribadinya,” kata Lokman.
Tambahnya, kenyataan-kenyataan yang dibuat di laman-laman sosial milik Lokman didakwa bukanlah satu fitnah tetapi kenyataan memohon penjelasan daripada Khairy selaku Menteri Kesihatan.
Lokman yang dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman Khairy menyatakan demikian dalam penyataan pembelaannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi semalam (2 Mac 2022).
Pada 25 Januari lalu, Khairy, 46, atas kapasiti peribadi memfailkan saman secara berasingan terhadap Lokman dan seorang pendakwah bebas, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi, 41, dan mendakwa kedua-dua individu tersebut memfitnahnya berhubung program vaksinasi negara dan vaksin serta dos penggalak yang diterimanya.
Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 Mac ini.
Selain itu, Lokman dalam pembelaannya menyatakan, beliau adalah seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Laskar Siber Malaysia yang antaranya memantau perjalanan tadbir urus serta prestasi kerja membabitkan kerajaan dan pihak berkuasa.
NGO terbabit juga didakwa membantu menyuarakan kebimbangan rakyat serta isu-isu berkenaan kakitangan kerajaan atau pihak-pihak berkuasa atau perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam.
Lokman menafikan bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat adalah salah, tidak benar dan berniat jahat terhadap Khairy.
“Defendan menegaskan bahawa pernyataan-pernyataan yang dipersoal hanya menggesa pihak plaintif untuk memberikan penjelasan dan penerangan berkenaan dengan isu-isu lain yang telah dinyatakan.
“Ini kerana masa kini, persepsi masyarakat terhadap akauntabiliti, ketelusan, tadbir urus yang baik dan tindak tanduk penjawat awam dan lebih-lebih lagi berkaitan dengan kesejahteraan rakyat serta pandemik Covid-19,” ujarnya.
Lokman juga mendakwa kenyataan-kenyataan yang dikatakan berbaur fitnah itu terlindung oleh perlindungan bersyarat, justifikasi dan komen yang adil kerana ia membabitkan kepentingan awam.
“Plaintif juga tidak boleh menghalang hak defendan untuk bersuara sama ada bagi menyuarakan pendapat dan/atau pandangan defendan dan atau apa-apa sekalipun sesuai dengan undang-undang yang sedia ada dan ia adalah hak dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Lokman dalam pembelaan tersebut.
Menurut pernyataan tuntutan yang diperoleh melalui carian mahkamah, Khairy mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat dua kenyataan serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lalu.
Lokman juga didakwa telah membuat kenyataan berbaur fitnah melalui ‘Facebook Live’ di akaun laman sosial yang sama pada 10 Januari lepas.
Pernyataan fitnah tersebut antaranya menyentuh mengenai program vaksinasi negara dan status vaksinasi Khairy.
Mohd. Rasyiq pula didakwa memfitnah Khairy melalui empat kenyataan berbaur fitnah, menyiarkan tiga video serta satu gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2021, 6 dan 10 Januari lalu.
Antara kenyataan berbaur fitnah tersebut merujuk kepada vaksinasi Covid-19 yang diterima Khairy dan syarat vaksinasi bagi mereka yang akan mengerjakan umrah.
Plaintif mendakwa, kenyataan berbaur fitnah yang dibuat oleh kedua-dua defendan antara lain menggambarkan Khairy berbohong dan menipu orang ramai bahawa beliau telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.
Khairy mendakwa, ekoran penerbitan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah tersebut, beliau telah dibenci oleh orang awam, reputasi dan kredibilitinya terjejas serta menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap dirinya.
Oleh itu, plaintif menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, teladan dan teruk yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.
Turut dimohon adalah perintah ke atas kedua-dua defendan agar memadamkan kesemua kenyataan, video dan gambar yang berbaur fitnah tersebut dari laman sosial masing-masing dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman diterima serta perintah larangan agar kesemua bahan tersebut tidak disiarkan atau diterbitkan semua oleh Lokman dan Mohd. Rasyiq atau ejen mereka dalam apa jua bentuk sekalipun.
Khairy turut memohon permohonan maaf daripada kedua-dua defendan dalam bentuk video dan teks yang akan disiarkan di kesemua laman sosial milik Lokman dan Mohd. Rasyiq selama 30 hari yang boleh diakses oleh orang awam.
Plaintif turut memohon faedah sebanyak lima peratus ke atas jumlah ganti rugi setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta relif-relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – UTUSAN