Utusan, Kosmo! antara media paling kerap dilayari

Utusan, Kosmo! antara media paling kerap dilayari

AKHBAR Utusan Malaysia dan Kosmo! yang bernaung di bawah syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. baru sahaja diterbitkan semula dan menemui pembaca pada 20 Julai 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Utusan Malaysia dan Kosmo! kini tergolong dalam 30 laman sesawang media yang paling kerap dilayari di negara ini.

Keadaan itu meskipun dua akhbar yang bernaung di bawah syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. baru sahaja diterbitkan semula dan menemui pembaca pada 20 Julai 2020.

Kedua-dua akhbar itu ditutup selepas penerbitnya, Utusan Melayu (M) Berhad melakukan proses penggulungan syarikat berkuat kuasa 9 Oktober 2019.

Media Mulia Sdn. Bhd. turut tersenarai sebagai salah satu syarikat media terbesar di Malaysia apabila menghasilkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo!, Kosmo! Ahad, The Malaysian Reserve dan portal berita Relevan.

Ini berdasarkan Laporan Media Digital Malaysia 2022 yang diterbitkan Dable, syarikat pengiklan media terkemuka Asia.

Dalam laporan tersebut, Dable menggunakan data disediakan Similar Web dan Dataportal bagi mengenal pasti laman sesawang dalam kalangan media yang paling kerap dilayari di Malaysia setakat Disember 2021.

Melalui 30 laman sesawang media yang tersenarai, sebanyak 67 peratus terdiri daripada kategori berita manakala 33 peratus lagi kategori gaya hidup.

Selain itu, 14 laman sesawang media meliputi media bahasa Melayu, 11 media bahasa Inggeris dan selebihnya adalah media bahasa Cina.

Dari segi tahap ketersampaian media, laman web media Malaysia mencatatkan sebanyak 170 juta bilangan pembaca (pageviews) setiap bulan meliputi 54 peratus kandungan bahasa Melayu, 45 peratus kandungan bahasa Cina dan satu peratus kandungan bahasa Inggeris.

Dari segi data pembaca, kumpulan pengguna berusia 35 hingga 44 tahun paling ramai yang melayari laman sesawang media, diikuti pengguna berusia 25 hingga 34 tahun, 45 hingga 54 tahun, 55 hingga 64 tahun, 18 hingga 24 tahun dan 65 tahun ke atas.

Laporan ini juga memaklumkan bahawa pembaca wanita lebih ramai iaitu sebanyak 52 peratus manakala lelaki pada 48 peratus.

Dable juga melaporkan bahawa pengguna paling kerap melayari laman sesawang berita dan cenderung untuk melayari laman sesawang yang sama tiga hingga empat kali seminggu.

Berbanding laman sesawang berita, Dable melaporkan kandungan gaya hidup lebih banyak menarik pembaca yang lebih muda.

Dari segi platform, sebanyak 79 peratus pengguna menggunakan peranti telefon pintar untuk melayari laman sesawang media berbanding desktop dengan 17 peratus dan tablet pada 4 peratus

Dable turut melaporkan sebanyak 61 peratus pengguna menggunakan Google Chrome untuk melayari laman sesawang media, Apple Web Kit (16 peratus), Safari (12 peratus), lain-lain (9 peratus) dan Firefox (2 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya