PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menolak dakwaan pembangkang melanggar perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan berhubung kegagalan meluluskan usul Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat semalam.

Sebaliknya, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu mempersoalkan ketidakhadiran 31 Ahli Parlimen kerajaan ketika pengundian dijalankan.
Lagi pula katanya, usul untuk melanjutkan SOSMA itu tidak termaktub dalam MoU.
“Usul itu bukan dalam MoU. Kamu saja nak cari alasan. Sepatutnya kamu tanya mengapa hanya 84 Ahli Parliman kerajaan mengundi? Di mana lagi 31?” Katanya dalam hantaran di twitter.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab tweet Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan bahawa pembangkang telah melanggar MoU apabila tidak menyokong untuk meluluskan usul berkenaan.
Semalam Dewan Rakyat menolak usul Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.
Tidak hadir
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undian itu berkata, seramai 86 ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju melanjutkan usul tersebut, 84 ahli Parlimen Kerajaan bersetuju manakala 50 ahli Parlimen tidak hadir.

“Maka, usul seperti yang dikemukakan tidak dipersetujui,” kata Azhar.
Sebelum itu, Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mencadangkan supaya undi belah bahagian dilakukan bagi mencapai keputusan meluluskan undang-undang yang diusulkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Lebih 15 ahli Parlimen kemudian bangun bagi menyokong supaya undang-undang tersebut diputuskan menggunakan undi belah bahagian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membentangkan usul itu bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa subseksyen itu bermula 31 Julai ini dan bercadang mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari mengikut peruntukan akta sama bagi memberi ruang masa cukup kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan kes kesalahan-kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.
Jelasnya, tempoh 28 hari dalam akta itu tidak mencukupi kerana kes disiasat di bawah SOSMA sangat rumit terutama melibatkan kumpulan pengganas dan jenayah terancang yang mempunyai rangkaian luas.
Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju kerajaan melanjutkannya kerana peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) sudah cukup untuk siasatan yang perlu dalam kes melibatkan SOSMA.