SEREMBAN: Belum ada perbincangan dan rundingan antara kerajaan dan pembangkang untuk membentangkan sekali lagi usul lanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak pembangkang juga tidak mengetahui sama ada usul tersebut akan dibentangkan lagi atau tidak kerana setakat ini tiada perbincangan mengenainya.
“Belum ada apa-apa perbincangan dengan kami (pembangkang) jadi kami tidak tahu sama ada mereka akan bawa atau tidak. Saya tidak tahu, itu terpulang kepada menteri, bila dia akan bawa, bila akan berunding, bila akan berbincang, itu terpulang kepada Menteri Dalam Negeri,” katanya.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian selepas merasmikan Majlis Karnival Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban Tahun 2022 di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban di sini hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, kerajaan akan membentangkan sekali lagi usul lanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 bagi tempoh lima tahun lagi selepas ia gagal mendapat sokongan majoriti wakil rakyat di Parlimen.
Menurut Hamzah, pembentangan itu akan dibuat sebelum tempoh penguatkuasaan penahanan selama 28 hari bawah SOSMA tamat pada 31 Julai depan.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan, pembangkang mungkin tidak menolak untuk meluluskan usul yang dirancang untuk dibentangkan semula itu jika kerajaan membuat beberapa pindaan dalam akta tersebut.
Ahli Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya berkata, pindaan itu termasuk mengurangkan tempoh tahanan selama 28 hari kepada sekurang-kurangnya 14 hari.
Minggu lalu, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 untuk tempoh lima tahun lagi selepas keputusan undian belah bahagi, menunjukkan hanya 84 ahli Parlimen yang menyokong manakala 86 lagi menolak, selain 50 lagi tidak hadir.
Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.- UTUSAN