UniSHAMS nafi konsultan minta wang RM4 juta

UniSHAMS nafi konsultan minta wang RM4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menafikan dakwaan kononnya terdapat konsultan yang meminta wang sebanyak RM4 juta, berkaitan pembinaan asrama pelajar di universiti itu.

Malah menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Naib Canselornya hari ini, proses pemilihan konsultan berkaitan pembinaan asrama tersebut hanya diiklankan pada Mei 2022.

Menurutnya, UniSHAMS tidak bertanggungjawab terhadap tindakan dilakukan oleh mana-mana konsultan kerana tiada lantikan rasmi dibuat sebelum ini.

“Pihak pengurusan memandang serius isu ini dan berdasarkan justifikasi diberikan, dakwaan tersebut dianggap sangat tidak berasas.

“Sebagai makluman, pembinaan asrama ini adalah tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan UniSHAMS yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555).

“Pihak pengurusan UniSHAMS kini masih dalam proses untuk mengemukakan permohonan kepada KPT bagi kelulusan Ketua Pendaftar serta kelulusan pembinaan asrama di atas tanah yang telah digazetkan kepada pihak universiti, sebelum sebarang proses tawaran dapat diiklankan kepada konsultan,” katanya.

Kelmarin Menteri Besar, Datuk Seri  Muhammad Sanusi Md. Nor  dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti berlaku salah laku rasuah membabitkan universiti berkenaan, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Cabaran itu dibuat susulan pendedahan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr. Salmee Said yang dikatakan menerima maklumat daripada kontraktor mendakwa, terdapat konsultan meminta wang sebanyak RM4 juta berkaitan pembinaan asrama yang bakal menempatkan 2,000 pelajar di universiti tersebut.

Kenyataan itu menjelaskan, cadangan pembinaan asrama tersebut telah dibentang dan diluluskan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat, UniSHAMS Sdn. Bhd. Kali Ke-14 pada 17 Januari 2022, menerusi kaedah pembiayaan Build, Operate And Transfer (BOT) oleh pihak swasta.

Katanya, memandangkan UniSHAMS tidak memiliki kepakaran, lantikan konsultan pembangunan asrama tersebut adalah satu keperluan bagi melaksanakan kerja-kerja penyediaan draf perancangan reka bentuk dan konsep, hingga asrama tersebut disiapkan sepenuhnya menerusi kaedah Request For Proposal (RFP).

“Pihak Perunding (Consultant) akan membantu UniSHAMS bagi menjayakan pembangunan asrama ini secara BOT kerana ia memerlukan kepakaran pihak-pihak profesional menurut peraturan yang berkuat kuasa dan yuran perkhidmatan yang dikenakan adalah menurut amalan professional ditetapkan Perbendaharaan Malaysia.  

“Kaedah RFP juga telah diteliti secara terperinci oleh jawatankuasa yang dianggotai pegawai UniSHAMS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, dengan mengambil kira kemampuan semasa dan meringankan bebanan kewangan UniSHAMS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya