Unimap jalin kerjasama syarikat pengeluar bahan pateri terbesar Jepun - Utusan Malaysia

Unimap jalin kerjasama syarikat pengeluar bahan pateri terbesar Jepun

MEMORANDUM perjanjian yang ditandatangani antara TUSB yang diwakili Shahruddin Othman (kiri) dengan Nihon Superior Sdn. Bhd. yang diwakili Yuji Kozutsumi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan salah sebuah syarikat pengeluar bahan pateri terbesar Jepun, Nihon Superior Co. Ltd. bagi meneroka penyelidikan dan pembangunan bahan penyambungan elektronik baharu.

Dalam majlis menandatangani MoU itu, Unimap menerusi anak syarikatnya, Tehnopreneur Unimap Sdn. Bhd. (TUSB) diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Shahruddin Othman manakala Nihon Superior pula diwakili Yuji Kozutsumi yang juga Pengarah Urusan syarikat itu.

Yang turut hadir, Pengarah TUSB, Dr. Mujahir Ab Rahim; Pengurus R&D Nihon, Pavithiran Narayanan dan Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Berpangkalan di Osaka, Jepun, Nihon Superior yang turut mempunyai kilang pembuatan di Jelapang, Ipoh, Perak bersetuju meneroka projek pembuatan bahan penyambungan elektronik bersifat pengalir lampau bagi aplikasi peralatan perubatan dan komunikasi bersama kumpulan penyelidik Unimap yang diketuai Prof. Madya Ir. Dr. Mohd. Arif Anuar Mohd. Salleh.

Selain Zaliman, antara ahli kumpulan penyelidik yang terlibat termasuk Prof. Dr Kazuhiro Nogita; Prof Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri; Dr. Flora Somidin; Dr. Rita Mohd Said; Dr. Norainiza Saud dan Dr. Dewi Suriyani Che Halin.

Bagi projek penyelidikan itu, Nihon Superior bersetuju menyalurkan dana geran penyelidikan berjumlah RM313,000 serta penajaan pengajian bagi seorang pelajar mengikuti program pengajian kedoktoran di Unimap.

Selain untuk aktiviti penerokaan penyelidikan bahan penyambungan elektronik baharu itu, dana tersebut termasuk menampung kos kumpulan penyelidik bagi menjalankan aktiviti perincian bahan menggunakan beberapa peralatan termaju di Jepun.

Zaliman berkata, kerjasama antara Nihon Superior dan Unimap terjalin sejak 2012 apabila dana penyelidikan hampir RM2 juta disalurkan serta sembilan pelajar sarjana dan kedoktoran ditaja sehingga kini.

Katanya, jalinan kerjasama penyelidikan tersebut berjaya membantu Nihon Superior dalam pembangunan bahan pateri yang baharu serta penambahbaikan proses pembuatan bahan pateri sedia ada.

“Jalinan kerjasama kukuh dengan syarikat antarabangsa seperti ini menunjukkan Unimap sentiasa komited memberi sumbangan kepakaran kepada industri-industri di Malaysia dan antarabangsa.

“Ia juga membuktikan Unimap membuka peluang seluas-luasnya kepada pelbagai pihak industri bagi pemindahan kepakaran dan teknologi yang akhirnya dapat memenuhi tuntutan serta keperluan semasa negara.

“Kerjasama tersebut secara tidak langsung membuktikan komitmen universiti menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan pemindahan ilmu berimpak tinggi dengan memperkasakan UniMAP4Society,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya