KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu berpuas hati empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di bawah seliaan mereka kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu sekali gus memberi motivasi kepada parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Syukur dengan berkat doa dan usaha semua pihak yang membantu dalam kemenangan BN kali ini.
“Lebih manis 4 DUN di bawah seliaan BN Terengganu iaitu Sedili, Johor Lama, Penawar dan Tanjung Surat juga kekal milik BN,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
BN membentuk Kerajaan Negeri Johor setelah melepasi majoriti mudah 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN, semalam.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemenangan BN itu menunjukkan referendum rakyat yang mahukan kestabilan dan pembangunan.
Malah, katanya, Johor menjadi kebangkitan semula dan pemangkin untuk pembangunan Malaysia. – UTUSAN