KOTA KINABALU: Walaupun UMNO Sabah berbeza dengan Semenanjung Malaysia namun, parti itu tidak menolak kemungkinan bertembung dengan rakan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO di Sabah agak berlainan sedikit dengan UMNO di Semenanjung maka, kebijaksanaan dalam berhadapan rakan komponen dalam GRS amat perlu.
“Justeru, saya akan cuba membincangkan perkara-perkara yang difikirkan seiring dengan pendekatan GRS.
“Kalau boleh kita tidak mahu bertembung antara satu sama lain dalam GRS, tetapi kita perlu akur kepada pucuk pimpinan. Banyak kemungkinan boleh berlaku sekiranya usaha yang akan kita rancang tidak berhasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, era politik di negara ini serba dinamik maka, UMNO Sabah perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan dan beliau yakin semua perkara boleh dirunding dan dibincangkan secara baik dalam GRS.
Mengulas lanjut katanya, penyokong UMNO Sabah perlu kekal bertenang dan menguatkan iltizam di peringkat akar umbi untuk berhadapan PRU15.
Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu meminta jentera di semua peringkat untuk bersiap-siaga menjelang PRU15.
Jelas beliau, PRU bukan seperti berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN), ia memerlukan persiapan yang lebih terperinci bagi memastikan UMNO kembali mendapat mandat rakyat.
“Sekiranya UMNO ingin bangkit semula untuk memerintah negara maka, UMNO perlu memperkukuhkan jentera di semua peringkat serta berusaha mengatasi krisis dalaman parti secara baik.
“Di peringkat negeri, Sabah berada di landasan yang tepat untuk membentuk jentera yang lebih efisien dan berkesan menjelang PRU15. Malah, selepas PRN Sabah, UMNO sudah pun memperkemaskan jentera dan melakukan penyusunan di peringkat akar umbi,” katanya. UTUSAN
Ends.