PASIR SALAK: UMNO Bahagian Pasir Salak mahu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kekal bertanding mempertahan Parlimen Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Dr. Faizal Tajuddin berkata, cawangan-cawangan UMNO bahagian ini mahu Tajuddin, yang merupakan Ketua UMNO Bahagianbertanding pada PRU-15.
Bagaimanapun, menurut Faizal, keputusan siap bertanding di kerusi itu diputuskan pucuk kepemimpinan tertinggi parti.
“Jadi saya tidak ada apa-apa komen sama ada Tajuddin akan dicalonkan sekali lagi atau tidak. Tetapi daripada apa yang kita amati, cawangan dan juga pemimpin di peringkat bahagian ini yang ingin melihat beliau untuk bertanding sekali lagi sebagai ahli Parlimen,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Penyampaian Sumbangan Kit Ujian Kendiri Covid-19 Ahli Parlimen Pasir Salak kepada 50 buah sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Pasir Salak di Sekolah Kebangsaan Dato’ Sagor, di Kampung Gajah dekat sini hari ini.
Mengenai persediaan menghadapi PRU15, Faizal berkata, persedian telah dilakukan sejak dua tahun lalu dan semua ahli UMNO di Pasir Salak sedang menantikan isyarat bila PRU diadakan.
“Kami telah bersedia sejak dua tahun lalu untuk menghadapi apa jua kemungkinan dan jentera kami sentiasa adakan perjumpaan dan mesyuarat. Kami sedang menunggu gendang PRU15 dipalu dan apabila berakhir pandemik dan bermula endemik 1 April nanti, ini akan lebih memudahkan kami untuk mengadakan program siri ceramah secara terbuka,” katanya.
Sementara itu, mengenai program hari ini, Faizal berkata, penyerahan Kit Ujian Covid-19 tersebut merupakan kali kedua diadakan di Parlimen Pasir Salak selepas yang pertama tiga bulan lalu melibatkan komuniti setempat. – UTUSAN