UKM jana RM2.1 juta selepas 6 bulan ambil alih Kelab Golf Danau

UKM jana RM2.1 juta selepas 6 bulan ambil alih Kelab Golf Danau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Meskipun baharu enam bulan mengambil alih pengoperasian Danau Golf Universiti Kebangsaan Malaysia (DGUKM), Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Pusat Tanggungjawab (PTJ) berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2.1 juta.

Dengan reputasi sebagai satu-satunya padang golf di negara ini yang diuruskan pentadbiran institusi pengajian tinggi (IPT), pencapaian dalam masa singkat tersebut boleh dibanggakan.

Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil yang diperoleh itu dimanfaatkan  untuk pembangunan sukan dalam kalangan penuntut seperti pembelian peralatan sukan, pengurusan aktiviti sukan dan persediaan atlet untuk mewakili universiti ke kejohanan luar seperti temasya Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan Sukan Malaysia (Sukma).

Kelab Golf Danau di bawah pengurusan Unit Sukan UKM ini juga berikrar membantu meningkatkan pendapatan golongan asnaf di sekitar lembah Klang melalui sukan golf menerusi program kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) yang kini sudah di peringkat perbincangan bersama kementerian itu.

“(Selain itu) Bagi menyahut seruan kerajaan di dalam aspek Dasar Sukan Negara iaitu Sukan Untuk Semua, Danau Golf UKM mengambil inisiatif ‘merakyatkan golf’ dengan mengadakan perbincangan bersama KBS bagi mewujudkan program Akademi Kemahiran Belia Golf.

“Menerusi program ini, Danau Golf UKM menyasarkan melatih dan memberi peluang kepada sekurang-kurangnya 60 belia daripada keluarga asnaf untuk berkecimpung dalam industri golf dan membina kerjaya mereka selain secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi imej sukan ini,” katanya.

Program tersebut dijangka dilaksanakan pada Ogos tahun ini.

Untuk rekod, selain lapangan golf 18 lubang, DGUKM menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti kolam renang awam bersaiz Olimpik, driving range, rumah kelab dan Pro Shop.

Selain itu, PTJ melantik enam jurulatih bertauliah bagi membantu peminat-peminat sukan golf mempelajari atau memperbetulkan teknik pukulan mereka.

Hasil kerja-keras PTJ meningkatkan reputasi DGUKM menyaksikan lapangan tersebut terpilih untuk menganjurkan pelbagai kejohanan golf.

Antara kejohanan yang telah dijayakan di DGUKM adalah PGAM Satellite Tour, Sports Excel Tournaments, Perodua World Amateur Championships, Alumni UKM Lembah Pantai dan terbaharu, Pertandingan Golf Jemputan Pasukan Majlis Dato’-Dato’ Kurnia Negeri Sembilan tahun 2022. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN