UiTM sedia bantuan pendidikan, pelajar ada masalah boleh mohon 

UiTM sedia bantuan pendidikan, pelajar ada masalah boleh mohon 

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) meminta pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran supaya menghubungi fakulti dan pihak pentadbiran universiti.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, pihaknya menyediakan pelbagai dana dan bantuan pendidikan bagi pelajar kurang berkemampuan dalam membantu melancarkan proses pembelajaran.

Menurut beliau, kemudahan itu antaranya dana amanah pelajar selain bantuan pusat zakat dan pihak alumni UiTM.

“Kita mengutamakan kebajikan seluruh warga universiti dalam menyediakan perkhidmatan terbaik bagi persekitaran pendidikan kondusif. 

“UiTM prihatin dengan keperluan pelajar terutama dalam pembelajaran norma baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas isu seorang pensyarah UiTM yang tular mengherdik seorang pelajar kerana tidak mampu membeli komputer malam tadi.

Jelas Roziah, pihaknya sudah meneliti isu itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.

“UITM bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik universiti sama ada sengaja atau tidak. 

“Kewujudan UITM adalah membantu golongan tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti,” katanya.

Tambah beliau, UITM memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian. 

“Dalam merealisasikan keberkesanan  pelaksanaan kaedah itu, semua pihak perlu berganding bahu daripada semua aspek,” ujarnya.

Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Rasydan Mohd. Hassan menyelar kata-kata  dikeluarkan oleh pensyarah universiti tersebut yang videonya  tular.

Menurut beliau, sejarah UiTM dibina atas dasar untuk membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan bumiputera untuk mendapat pendidikan di peringkat tertinggi.

“Justeru kenyataan menghina golongan B40 adalah tidak wajar oleh mana-mana pihak.

“Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi UiTM untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan yang wajar dan selayaknya kepada pensyarah tersebut,” kata beliau.

Malam tadi, tular video seorang pensyarah mempersoalkan seorang mahasiswanya yang tidak mempunyai komputer ketika sesi kuliah secara dalam talian dijalankan.

Menerusi video tersebut, pensyarah terbabit mempersoal tentang sokongan kewangan keluarga tersebut kepada pelajar tersebut.

Mengulas lanjut Rasydan menegaskan, tindakan pensyarah berkenaan secara tidak langsung merosakkan imej UiTM.

“Pensyarah tersebut perlulah memahami keadaan negara yang sedang berhadapan dengan situasi pandemik yang menyebabkan hampir semua rakyat di Malaysia menghadapi keadaan ekonomi yang tidak stabil.

“Manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan tertinggi bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga kepada mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini,” jelasnya.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya