TAMPIN: Bermula untuk mengisi waktu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, penternakan udang kara yang diusahakan tiga orang kini mula mendatangkan pulangan lumayan.
Mohd. Zairi Nasran, 39, berkata, semuanya bermula apabila dia terfikir untuk menternak udang kara di dalam akuarium dan kemudian rakannya memaklumkan benih udang kara boleh dijual pada harga RM1.50 seekor.
Menurutnya, seekor induk udang kara boleh menghasilkan kira-kira 200 benih pada satu-satu masa dan jumlah itu tentunya mampu memberikan hasil cukup baik.
“Saya terlebih dahulu menyertai kursus dan diikuti oleh seorang lagi kenalan, Azharuddin Dollah, 47, yang merupakan kontraktor dan memulakan khidmat pemasangan tempat bagi ternakan udang kara kecil-kecilan.
“Setiap bulan kami terima tempahan sekitar 30 set dan membuat keputusan untuk mengusahakan secara serius dengan dua kolam di Jenderam, Sepang serta terbaharu di Kampung Ulu Rokan di sini dengan lapan buah kolam di atas tanah milik seorang rakan kami, Mohd. Zulhelmi Mohd Zulkafli, 34,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Mohd. Zairi yang juga Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Dagangan Antarabangsa Udang Kara Malaysia (Mifta) berkata, terdapat kira-kira 330 orang penternak udang kara di negara ini, namun tidak sampai 20 orang penternak yang melaksanakan projek tersebut secara komersial.
Katanya, permintaan bagi udang kara sangat baik malah mereka juga ada waktunya sukar untuk memenuhi permintaan pelanggan termasuk dari pengusaha restoran dan pemborong.
“Harga runcit bagi sekilogram udang kara ketika adalah sekitar RM90 hingga RM120. Kolam ternakan di sini mula memasuk kali kedua hasil tuaian dan pada tuaian pertama dahulu, hasilnya mencecah 400 kilogram,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Zulhelmi memberitahu, mereka kini berhasrat untuk menjadi pengusaha bumiputera terbesar yang menternak udang kara di negara ini dengan sasaran pengeluaran sebanyak 1.2 tan sebulan. – UTUSAN