PETALING JAYA: Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), memandang serius dan mengambil berat pandangan orang ramai berhubung isu klip video aksi ‘panas’ dalam drama Perempuan Itu yang tular di media sosial, hari ini.
Menerusi kenyataan, pihak TV3 menyifatkan adegan dipaparkan tidak sesuai untuk disiarkan, apatah lagi bagi tujuan promosi.
“TV3 memandang serius dan mengambil berat akan suara dan pandangan orang ramai mengenai video dalam petikan adegan daripada drama Perempuan Itu yang tular di media sosial.
“Adegan yang dipaparkan sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi.
“Malahan adegan tersebut juga tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen,” katanya.
Mengulas lanjut, TV3 juga memaklumkan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana pengisian drama-drama tempatan pertu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Dalam pada itu, pihak tersebut juga tampil mengingatkan agar semua pihak terutama produksi dan para pelakon supaya lebih peka dengan apa yang hendak dilakukan, selepas ini, bagi menjaga sensitiviti agama dan masyarakat.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pengisian drama-drama tempatan pertu mengikut garis
panduan yang telah ditetapkan oleh LPF.
“TV3 ingin mengingatkan semua pihak yang meliputi produksi dan para pelakon supaya menjadi lebih peka kepada tindak-tanduk yang dilakukan.
“Selain menjaga sensitiviti agama dan masyarakat terutamanya dalam menjayakan mana-mana karya,” ujarnya.