TV AlHijrah kesal, lebih berhati-hati - Utusan Malaysia

TV AlHijrah kesal, lebih berhati-hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Stesen TV AlHijrah akan lebih berhati-hati dalam menerbitkan rancangan berbentuk viral bagi mengelakkan insiden yang melanda salah sebuah programnya baru-baru ini berulang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris berkata, pihaknya kesal dengan insiden yang berlaku dan akan meneliti lebih mendalam sebarang kandungan atau pengisian yang akan disiarkan di masa akan datang.

“Kami tidak boleh katakan kami kecewa dengan apa yang berlaku selepas (insiden) itu. Sebab itu kami tegaskan, kami akan lebih berhati-hati dengan masa depan. Terutamanya dalam menghasilkan program yang bersifat viral.

“Ada masanya kami bertanya, ada ataupun tidak keperluan untuk hasilkan lagi program sebegini kalau inilah kesannya. Berbaloi atau tidak?

“Selepas meneliti semula, kami rasakan program ini perlu diteruskan. Cuma kami akan sangat berhati-hati dengan penerbitan. Dan kedua, cara kami promosikan di media sosial,” katanya.

Namanzee berkata demikian usai Majlis Pelancaran Kempen Ramadan Syawal dan Aplikasi Baharu TV AlHijrah bertempat di Premiera Hotel, Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, stesen tv Islamik itu menerima kecaman hebat kerana mengundang individu tular, Wan Nor Baizura Bharudin, 33, atau lebih dikenali sebagai Kak Long 7E sebagai tetamu dalam salah sebuah episod bagi rancangan televisyen yang dinamakan Trending.

Susulan itu, TV AlHijrah bertindak menangguhkan siaran episod tersebut untuk meredakan kemarahan ramai pihak yang menolak kehadiran individu tular tersebut di dalam program berkenaan.

Mengulas lanjut, Namanzee juga kesal dengan salah faham yang berlaku terhadap program tersebut sehingga menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Katanya rancangan Trending tersebut sebenarnya mempunyai pengisian yang baik dan bermanfaat untuk tontonan umum.

“Saya rasa, berlaku salah faham apabila hos jemputan mempromosikan episod itu dengan memuat naik gambar yang seolah-olah mengangkat individu tersebut.

“Sedangkan, apa yang berlaku adalah ketika rakaman dilakukan, ustazah Isfadiah Mohd Dasuki yang diundang ketika itu telah memberi tazkirah kepada individu berkenaan.

“Mesej yang ingin disampaikan adalah sangat baik kerana ia diterjermahkan kepada semua orang, dalam semua keadaan. Itulah niat asalnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Namanzee juga memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan menggam hos jemputan yang terlibat.

Katanya, pihaknya berlapang dada dan akan terus menggundang hos tersebut untuk mengendalikan program berkenaan di masa akan datang.

“Kami tidak akan menggam hos terbabit.Tidak ada isu tersebut. Kami akan tetap memanggilnya sebagai hos jemputan menggantikan hos asal. Barangkali dia juga kesal dengan apa yang berlaku.

“Dia ingin mempromosikan sesuatu yang baik. Namun melihatkan reaksi yang diterima, dia segera padamkan perkongsian tersebut. Kami berlapang dada dan akan melihat beberapa isu dengan lebih mendalam,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya