MELAKA: Padah menumbuk dan menendang rakan serumahnya hanya kerana tidak berpuas hati ditegur, seorang pencuci kereta terpaksa membayar RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nabiha Mohd. Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhamad Zulhilmi Sholehat, 28, yang membuat pengakuan tersebut sejurus selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih belum dituduh didapati dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap Yazmi Yahya dengan cara menumbuk serta menendang mangsa.
Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 11.50 malam di sebuah pangsapuri di Bukit Katil pada 24 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku apabila mangsa menegur tertuduh mengenai sikapnya yang didakwa suka membawa masuk individu tidak dikenali serta mencurigakan ke dalam rumah.
Mangsa dan tertuduh berkawan sejak sekolah, malah pernah dipenjarakan bersama-sama atas kesalahan dadah.
Mangsa bagaimanapun dikatakan telah insaf dan mahu memulakan kehidupan baharu, namun tertuduh didakwa masih bergaul dengan individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah insaf, selain baharu mendapat pekerjaan sebagai pencuci kereta.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM1,500 atau penjara empat bulan jika gagal bayar.
Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN