Tular gigi kapak Mat Oni sangkut jaring 

Tular gigi kapak Mat Oni sangkut jaring 

PENGUMPAN Penang Black Panthers, Muhamad Zulhusni Basri atau lebih dikenali sebagai Mat Oni terpaksa menahan sakit apabila sebatang gigi kapaknya tersangkut pada jaring semasa perlawanan di set kedua menentang Bomba Fighters malam semalam. - IHSAN VIDEO STL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengumpan pasukan Penang Black Panthers, Muhamad Zulhusni Basri, 21,  atau lebih dikenali sebagai Mat Oni tidak menyangka kejadian sebatang gigi kapaknya yang tersangkut pada jaring di set kedua perlawanan menentang Bomba Fighters malam tadi, tular dalam media sosial hari ini.

Ini berikutan video berdurasi 55 saat yang dikongsi menerusi laman sosial Facebook SepakTakraw League  itu mendapat lebih 236,000 tontonan dan 1,800 perkongsian sejak dimuat naik pengemudinya pada pukul 11.35  malam semalam.

Rata-rata netizen terdiri penyokong dan peminat setia kejohanan  Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 itu meninggalkan 8,300  emoji ketawa dan tanda suka sekali gus menyifatkan sebagai penutup perlawanan paling lucu.

Lebih menggelikan hati apabila pemain import Black Panthers,  Aekasit Naphom kelihatan tidak dapat menahan ketawa semasa perlawanan di set kedua masih berbaki lapan mata meninggalkan jauh Bomba Fighters 13-2.

Pada perlawanan tersebut, Black Panthers menang mudah 2-0 ke atas juara Divisyen 1 itu sekali gus menduduki kelompak empat teratas Liga Premier musim ini.

Mat Oni ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini berkata, dia tidak menyangka aksi tersangkut gigi pada  jaring sempat dirakam jurukamera sekali gus disaksikan penonton secara langsung.

“Memang tak sangka hendak berlaku sebegitu. Sebelum ini memang saya lebih suka bermain dan psiko pihak lawan depan jaring. Saya pun tergelak sendiri sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

“Tak pernah lagi berlaku sampai nak tersangkut gigi depan jaring. Ini pengalaman manis untuk saya sepanjang tiga tahun beraksi dalam STL sejak 2019 apatah lagi pada perlawanan akhir pasukan sebelum Liga Premier menutup tirainya hari ini.

“Angkara kejadian itu, sebatang gigi kapak saya mula goyang. Mungkin tertarik kuat sebaik sahaja tersangkut,” ujarnya yang menambah, video viral itu dianggap sebagai pembakar semangat untuknya untuk terus beraksi cemerlang dalam sukan sepak takraw.

Mat Oni yang berasal dari Kepala Batas dekat sini mula meminati sukan sepak takraw sejak berusia sembilan tahun dan terlibat dalam kejohanan STL  pada tahun 2019, 2020 dan 2021. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya