PETALING JAYA: Tujuh pelanggan kedai makan di Jalan Klang Lama cedera selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta dalam kejadian malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.17 malam dan seterusnya menghantar jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi, Mohd. Ramzan Muhammad berkata, setibanya di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda HR-V dipercayai terbabas dan merempuh restoran.
Katanya, kereta tersebut turut melanggar dua buah kenderaan lain iaitu Perodua Axia dan Lexus.
“Selain itu, pelanggan terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita yang sedang makan di meja luar restoran berkenaan dipercayai mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun kesemua mereka diberi rawatan awal serta dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian tersebut seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.19 malam,” ujarnya. – UTUSAN