Tuanku Muhriz terima Ijazah Kehormat Felo Akademi Kedoktoran 

Tuanku Muhriz terima Ijazah Kehormat Felo Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia 

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir ketika bertitah menyempurnakan Majlis Konvokesyen Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia yang berlangsung di Seremban hari ini. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menerima Ijazah Kehormat Felo Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia sempena Majlis Konvokesyen Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Baginda yang juga Penaung Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia ketika bertitah pada majlis tersebut menzahirkan ucapan terima kasih baginda di atas penganugerahan tersebut.

“Ini adalah satu penghormatan yang amat beta hargai. Semenjak menjadi penaung akademi ini, beta lebih memahami peranan serta kepentingan kepakaran perubatan keluarga kepada masyarakat,” titah baginda.

Terdahulu, pembacaan petikan penganugerahan ijazah kehormat berkenaan telah disampaikan oleh Presiden Akademi Kedoktoran Malaysia, Prof. Madya Dr. Chandramani Thuraisingham.

Tuanku Muhriz dalam pada itu turut bertitah, pakar perubatan keluarga adalah sumber yang paling tepat untuk mendapatkan analisa dan input mengenai keperluan kesihatan rakyat di Malaysia.

Ini kerana titah baginda, para pengamal perubatan dalam bidang kepakaran perubatan keluarga adalah merupakan individu yang hampir dengan orang ramai kerana mereka sentiasa bersemuka dengan masyarakat dalam memberikan perkhidmatan kesihatan.

“Maklumat daripada pakar perubatan keluarga boleh membantu kerajaan dalam menentukan status semasa kesihatan awam dan membuat perancangan program kesihatan yang sesuai dengan keperluan rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah, bagi memastikan tahap penjagaan primer di Malaysia selari dengan penjagaan primer di negara lain, doktor keluarga seharusnya mendapatkan status pakar dalam bidang perubatan keluarga agar mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang kompetitif. 

“Negara memerlukan seramai 8,000 pakar perubatan keluarga seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan bagaimanapun, negara hanya mempunyai seramai 700 pakar perubatan keluarga yang sedang memberikan perkhidmatan di sektor kerajaan dan swasta.

“Oleh itu, beta menyeru agar lebih ramai lagi doktor-doktor keluarga meneruskan pengajian bagi memperoleh pengiktirafan kepakaran. Di samping itu, peningkatan mutu perkhidmatan, ijazah kepakaran yang dianugerahkan juga mampu memperkasakan lagi status dan kredibiliti seseorang pengamal perubatan,” titah Tuanku Muhriz.

Baginda turut berkenan mengurniakan ijazah kepada 205 graduan yang menerima ijazah masing-masing.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya