TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu. Begitulah peribahasa yang sesuai digambarkan buat pendatang baharu, Syawal Iqbal, di arena muzik ini.
Mewarisi bakat nyanyian daripada bapanya yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kini menguruskan sebuah resort golf di Kelantan, Syawal sudah pun mengeluarkan debut berjudul Insaf, ciptaan sepenuhnya oleh TyraSyaf dan diterbitkan oleh syarikat Xanadu Records.
Jelas remaja berusia 22 tahun itu, segalanya bermulaselepas rajin membuat saduran lagu-lagu trending di media sosial.
“Walaupun saya tidak banyak memuat naik lagu saduran di laman sosial lain seperti Instagram atau YouTube, tidak sangka pula mendapat perhatian daripada seorang rakan media sosial yang kebetulan bapanya baru saja menubuhkan sebuah syarikat rakaman.
“Mulanya saya agak ragu-ragu bila diberitahu ingin diuji bakat lebih- lebih lagi dari syarikat yang baru ditubuhkan.
“Tetapi selepas mengetahui bahawa pengarah urusan syarikat itu merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang seni suara khususnya dalam memperkenalkan ramai artis popular tempatan, saya berasa, mengapa tidak?” katanya teruja.
Selepas diterbangkan dari pantai Timur, anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini berjaya merakamkan single pertamanya.
Tambah Syawal, dia masih teringat bagaimana bapanya tidak melepaskan peluang menunjukkan bakat nyanyian di majlis-majlis keramaian.
“Mungkin sejak kecil saya sudah didedahkan dengan keberanian bapa menyanyi di hadapan khalayak dan telah mempengaruhi minat saya dalam nyanyian,” terangnya.
SUKAN GOLF
Menyebut nama Syawal, mungkin ramai tertanya-tanya, siapakah pemuda berwajah bujur dan tinggi lampai ini? Tapi kepada penggemar sukan golf khususnya, namanya tidaklah begitu asing kerana dia dikenali sejak berusia 12 tahun lagi.
“Golf bukanlah sukan kegemaran ramai seperti bola sepak, badminton atau sepak takraw terutama bagi anak muda seperti saya.
“Secara peribadi, ia adalah sukan yang mencabar skil individu. Nampak memang mudah, hanya perlu menghabiskan pukulan dari lapan hingga 18 lubang.
“Tapi itulah sebenarnya cabaran dalam sukan ini, siapa yang dapat membuat pukulan paling sedikit dianggap pemenang,” ujar penuntut ijazah perniagaan Universiti Kuala Lumpur itu.
Pernah mewakili Majlis Sukan Negeri Kelantan sejak dibangku sekolah rendah, Syawal masih menjadi rebutan syarikat- syarikat swasta untuk menggunakan khidmatnya dalam pelbagai pertandingan sukan itu.
Mendapat bimbingan daripada bapanya, Mahhassan Che Ali, kongsi Syawal, kesemua ahli keluarga tiga adik-beradiknya aktif dalam sukan golf kecuali ibunya.
Meskipun kerap mendapat permintaan syarikat-syarikat swasta menyertai pertandingan, namun dia tidak bersedia untuk bergelar Pro.
“Belum. Tidak terlintas lagi buat masa ini. Lagi pun saya masih belajar dan bermain golf hanya untuk mengisi masa lapang,” akhirinya.