ISKANDAR PUTERI: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon perlu diberikan ruang membuktikan kemampuan untuk mengendali skuad kebangsaan bagi mengecapi pencapaian terbaik.
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pemerhati dan peminat tidak seharusnya menilai kemampuan pengendali kelahiran Korea Selatan itu hanya berdasarkan beberapa aksi perlawanan sahaja.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu percaya Pan Gon mempunyai ramuan yang tepat untuk memacu skuad Harimau Malaya.
“Masih terlalu awal untuk menilai, tak boleh membuat penilaian dalam dua ke tiga perlawanan sahaja. Dalam bola sepak ini, kita kena ‘trust the process’.
“Saya masa awal ambil alih JDT dahulu tidak menang apa-apa pada tahun pertama, kalah memanjang, dapat seri pun syukur sangat.
“Kita tidak boleh menilai seseorang jurulatih itu dalam satu musim sahaja, sekurang-kurangnya kena bagi dia masa dua musim, bagi dia masa kerana dia tahu apa nak buat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JDT, di sini, semalam.
Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac untuk menghadapi dua perlawanan Tier 1 menentang Filipina pada 23 Mac, diikuti Singapura (26 Mac) sebelum bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada 28 Mac.
Tambah beliau, pelantikan Pan Gon itu adalah satu langkah yang positif buat Harimau Malaya bagi mengharumkan nama negara.
Baginda turut meletak harapan yang tinggi kepada Pan Gon dan menjangkakan dia mampu menjadi individu yang tepat melakukan perubahan kepada pasukan kebangsaan.
“Kali ini akan berbeza, apabila saya tengok struktur mereka yang ditunjukkan pada saya, amat positif kerana lebih kurang sama dengan struktur kita di sini.
“Sebelum ini tidak ada, tetapi sekarang sudah betul-betul ada perancangan, mempunyai pasukan perubatan dan betul-betul menilai setiap pemain dalam negara, ini perkembangan yang baik.
“Dia (Pan Gon) ada menceritakan hasratnya dan saya turut menasihatkannya untuk berjaga-jaga kerana saya adalah tangan ghaib,” ujarnya.