JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menambah baik sistem pendidikan di Johor pada masa depan.
Titah Tunku Ismail, baginda akan terus memberi penekanan tentang kepentingan pendidikan untuk belia kerana akses terhadap pendidikan merupakan perkara yang dekat di hatinya.
“Individu daripada semua peringkat umur tanpa mengira status atau latar belakang harus sentiasa mempunyai akses yang mudah kepada peluang pendidikan untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka. Adalah penting pendidikan berkualiti diberi kepada rakyat khususnya golongan belia bagi membantu mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran hidup. Mungkin sudah tiba masanya untuk merombak silibus pendidikan kita,” titah Tunku Mahkota Johor hari ini.
Tambah baginda, pandemik Covid-19 telah menunjukkan kepentingan kepada seseorang individu agar menjadi celik teknologi dan kemahiran itu adalah sesuatu perkara yang amat penting.
“Belia kita perlu memiliki kemahiran yang mencerminkan keperluan dunia dinamik yang sentiasa berubah. Kita perlu merapatkan jurang antara kualiti graduan kita dengan tuntutan pasaran kerja. Untuk manfaat jangka panjang negeri Johor, kita perlu meneroka idea untuk memastikan belia kita serba lengkap dan terdidik untuk menyahut cabaran masa depan. Selain pengetahuan, kita juga memerlukan inisiatif dalam pembangunan sahsiah dan mendidik belia kita menjadi individu yang lebih berdaya saing, berkeyakinan dan berbelas kasihan. Belia Johor layak belajar daripada yang terbaik untuk berkembang dan menjadi individu dewasa yang berjaya,” titah baginda. – UTUSAN