Tiga teras tawaran tindakan PH buat pengundi Johor - Utusan Malaysia

Tiga teras tawaran tindakan PH buat pengundi Johor

AMINOLHUDA Hassan (tengah) bersama barisan tertinggi PH dan PKR pada Majlis Pengumuman Tawaran Tindakan PH Johor di Hotel The Landmark, Batu Pahat, Johor. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pakatan Harapan (PH) Johor menawarkan tiga teras utama kepada kira-kira 2.5 juta pengundi di negeri ini sekiranya gabungan berkenaan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tiga teras itu adalah membina semula ekonomi rakyat, menjamin kesejahteraan rakyat serta mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan bermaruah.

Menurut beliau, semua tawaran berkenaan adalah demi kestabilan rakyat Johor bagi memastikan negeri ini kembali harmoni serta mempunyai ekonomi yang berkembang pesat.

“Antara tawaran termasuklah mengusahakan Pembukaan Penuh Sempadan Johor-Singapura melalui kaedah uji dan lepas (Test & Release) bagi memberi peluang kepada rakyat Johor yang bekerja di Singapura berulang-alik dengan SOP (prosedur operasi standard) yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, PH berhasrat mewujudkan semula Kad Sihat Johor, Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) dan Skim Perumahan Belia Johor (SPBJ) selain mengembalikan Skim Takaful Warga Emas,” katanya ketika mengumumkan Tawaran Tindakan PH Johor di Hotel The Landmark di sini hari ini.

Tambah Aminolhuda, bagi memastikan pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah, PH turut memperkenalkan Enakmen Antilompat Parti selain pentadbiran yang inklusif di mana semua Bangsa Johor tanpa diskriminasi akan menikmati hasil perpaduan dan pembangunan merentasi semua daerah.

Sementara itu, ketika ditanya perbezaan antara teras tawaran bagi PH dengan parti lain pada PRN kali ini, Aminolhuda memberitahu, manifesto yang mereka cipta kebanyakannya masih segar dan belum pernah dinikmati rakyat.

“Setiap tawaran mungkin ada yang sama tetapi kita ada perbezaan. Kalau lihat Barisan Nasional (BN) telah mentadbir Johor lebih 60 tahun, tetapi ada tawaran yang kita kemukakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tak pernah lagi ditawarkan oleh BN meskipun mereka dah perintah negeri ini dalam tempoh yang lama,” katanya.

Dalam pada itu, PH Johor memutuskan untuk memilih calon Menteri Besar selepas berjaya memenangi PRN nanti kerana fokus utama mereka ketika ini adalah untuk menang dan memanfaatkan sehabis baik tempoh berkempen.

“Kita tak bincang lagi calon Menteri Besar dalam barisan PH kerana ada perkara yang lebih penting untuk kita bincangkan iaitu mencapai kemenangan di Johor.

“Untuk letak seseorang sebagai calon pentadbir negeri, ia perlukan perbincangan yang tepat dan keadaan masa yang sesuai. Kita berpendapat tempoh yang sesuai adalah apabila memperoleh kemenangan nanti,” kata Aminolhuda.

Semalam, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, soal membabitkan siapa calon Menteri Besar jika PKR dan PH berjaya membentuk kerajaan negeri pada 12 Mac ini bukan keutamaan gabungan itu.

Kata beliau, perkara mengenai siapa pemimpin yang akan diangkat menerajui kerajaan negeri juga tidak ada dibincangkan sehingga kini oleh pucuk pimpinan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya