Tiga rakan mengaku salah khianat, cuba curi mesin ATM - Utusan Malaysia

Tiga rakan mengaku salah khianat, cuba curi mesin ATM

TIGA orang rakan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas kesalahan melakukan khianat dan cubaan curi ke atas sebuah mesin ATM di pekan Johol pada hujung tahun lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Tiga rakan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dan cubaan curi ke atas sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pekan Johol di sini hujung tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Faris Zaki, 29; Mohd. Najib Husin, 26, dan Mohd. Ridzuwan Md Daud, 36, membuat pengakuan berkenaan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga mereka bersama individu yang masih bebas kira-kira pukul 4 pagi, 13 Disember tahun lalu telah memecahkan cermin pondok mesin ATM terbabit dengan menyebabkan kerugian berjumlah RM1,500.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Bagi pertuduhan kedua bersama-sama, kesemua tertuduh juga pada tarikh, masa dan lokasi sama didapati cuba mencuri mesin ATM yang merupakan aset Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Sementara itu, Mohd. Ridzuwan turut berhadapan satu lagi pertuduhan iaitu mencuri sebuah kereta jenis Proton Iswara kira-kira pukul 3 pagi di pekan Dangi, di sini pada 16 November tahun lalu.

Mohd. Najib pula berhadapan satu lagi pertuduhan iaitu pada 17 November tahun lalu kira-kira pukul 4 petang di Kampung Ulu Kepis, Temeris dengan sengaja menyembunyikan kereta jenis Proton Iswara yang diketahui sebagai harta curi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi kemudiannya meminta Majistret memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran ke atas kepada semua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Majistret kemudian menjatuhi hukuman setahun penjara bagi kesalahan khianat mesin ATM dan dua tahun lima bulan penjara bagi kesalahan cubaan curi mesin ATM berkenaan ke atas kesemua tertuduh.

Mohd. Ridzuwan juga dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi tarikh sabitan kesalahan mencuri kenderaan manakala Mohd. Najib dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dari tarikh sabitan bagi kesalahan menyembunyikan kenderaan curi.

Difahamkan, cubaan ketiga-tiga tertuduh untuk mencuri mesin berkenaan gagal apabila kabel yang disambung dengan sebuah van dan kereta untuk menarik mesin berkenaan putus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya