SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah apabila tiga kakitangannya menakluk Everest Base Camp (EBC), Nepal yang berketinggian 5,364 meter (m) pada pukul 6.11 petang waktu tempatan semalam.
Kakitangan terbabit ialah Dr. Mohd. Raime Ramlan dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Norzaliza Ghazali (Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah) dan Amirudin Hashim (Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan).
Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pendakian menawan EBC di gunung tertinggi dunia itu adalah Misi Kemanusian UUM-APM Endurance Challenge Sempena Sambutan Ulangtahun UUM Ke-38 dan Hari Pertahanan Awam Sedunia Ke-70 yang bermula pada 15 hingga 24 Mac.
“Sebagai rakan strategik Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah dan Lions Clubs bagi menjayakan misi tersebut, UUM turut menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyumbang enam unit komputer kepada Shree Manjushreee Basic School di Nepal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, misi itu bertepatan dengan agenda universiti untuk mengukuhkan dan meningkatkan keterlihatan jenama UUM di persada antarabangsa.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada ketiga-tiga pendaki yang mengharumkan nama universiti dan berbangga kerana pencapaian ini adalah hasil sokongan dan dorongan semua pihak.
“Kejayaan ini juga satu pengiktirafan kepada UUM dan berharap semangat serta keyakinan yang mereka tonjolkan ini akan diteladani seluruh warga UUM kerana tiada yang mustahil sekiranya ada kemahuan untuk berjaya,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, kejayaan mereka itu merupakan hadiah kepada seluruh warga UUM khususnya Naib Canselor yang telah banyak memberi sokongan, dorongan dan doa kepada mereka bertiga untuk merealisasikan impian tersebut.
Katanya, pendakian itu dilakukan bersama empat anggota APM itu diiringi sherpa dari Nepal, Sonam Sorna bagi membimbing mereka.
“Pendakian dari Lukla bermula 10 pagi waktu tempatan sebelum berhenti seketika bagi menyerahkan komputer untuk program CSR dan kemudian meneruskan pendakian sehingga ke EBC. Pendakian selama tujuh hari ini memang amat mencabar kerana selain faktor ketinggian, cuaca sejuk yang mencecah 12 darjah Celcius turut memberi cabaran dan agak menyukarkan,” katanya.
Amirudin berkata, bagi mencabar diri, beliau bersama pensyarah kanan Norzaliza meneruskan pendakian menawan Gunung Kala Patthar setinggi 5,550 meter dari aras laut bermula pukul 6.15 pagi waktu Malaysia dan tiba di puncak pada pukul 8.30 pagi.
“Kami turun semula ke EBC sekitar pukul 10.25 pagi tadi. Pasukan kami akan kembali ke tanah air pada 29 Mac selepas turun ke Lukla semula yang mengambil masa selama empat hari,” katanya. – UTUSAN