Tidak wajar manipulasi isu perkahwinan bawah umur

Tidak wajar manipulasi isu perkahwinan bawah umur

RINA HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu perkahwinan bawah umur tidak wajar dimanipulasikan mana-mana pihak kerana kerajaan memberikan komitmen tinggi dalam memperjuangkan dan menangani puncanya demi kepentingan terbaik kanak-kanak terutama aspek perlindungan dan kebajikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata,ia selaras dengan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang dilaksanakan bermula tahun 2020 hingga 2025.

Katanya, pelaksanaan program di bawah pelan itu dipantau Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai wakil semua agensi pelaksana mengambil kira isu-isu merentas pelbagai sektor seperti perundangan, keibubapaan, sistem sokongan sosial, pendidikan, kesihatan dan kesedaran.

Beliau berkata, sebanyak enam program dilaksanakan antaranya memperkenalkan aplikasi interaktif remaja myKafeTEEN memberi ruang kepada remaja mendapatkan khidmat nasihat, pandangan dan berkongsi masalah dengan kaunselor, pengamal perubatan dan pengamal agama bertauliah.

“Jurang daripada hasil kajian-kajian dilaksanakan terhadap Pendidikan Kesihatan Reproduktif Seksual (SRH) diteliti dalam kurikulum pendidikan sedia ada.

“Bahan-bahan pendidikan kesihatan bersesuaian disediakan dengan remaja dalam bentuk infografik untuk saluran media digital serta meluaskan pendidikan SRH kepada pelajar melalui program-program di sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina berkata, selain itu latihan mengenai pendidikan SRH diberikan antaranya kepada ketua dan kakitangan institusi pendidikan, pelindung kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Skuad Waja, guru dan kaunselor sekolah, guru tabika, tadika dan pengasuh taska.

Katanya, kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang masih bersekolah (berisiko cicir) dan yang telah tercicir diberikan termasuk menyelaraskan penyediaan statistik perkahwinan dan perceraian di Malaysia (orang Islam dan bukan Islam) meliputi di bawah umur 18 tahun mengikut jantina, etnik, umur dan negeri.

Beliau berkata, Pelan Strategi Kebangsaan itu turut menetapkan had umur minimum perkahwinan bagi perempuan di bawah undang-undang keluarga Islam dinaikkan.

“Pada masa sama, kementerian menghormati keputusan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada September tahun lalu berdasarkan ketetapan melalui Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengambil kira pandangan daripada negeri-negeri.

“Kementerian menghargai usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kerana mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) Permohonan Perkahwinan Bawah Umur sebagai satu langkah konstruktif bagi memperketatkan lagi kelulusan perkahwinan bawah umur,” katanya.

Rina berkata, dengan wujudnya SOP ini, Hakim Syarie akan meneliti laporan sosial daripada JKM, laporan kesihatan dan semakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan kes perkahwinan bawah umur yang direkodkan pada tahun 2016 sehingga 2020 menunjukkan trend penurunan perkahwinan melibatkan kanak-kanak di Malaysia.

Sebanyak 2,288 kes direkodkan pada tahun 2016; 2,107 kes (2017); 1,856 kes (2018); 1,459 kes (2019) dan 1,124 kes (2020).

Terdahulu, dalam persidangan Dewan Rakyat, Rina berkata, kerajaan masih belum bercadang untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur, namun komited dalam menangani isu tersebut.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai status terkini pembentangan rancangan mengharamkan perkahwinan bawah umur bagi membendung eksploitasi kanak-kanak.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN